Home » » Warga Kota Pendapatan RM3000 Ke Bawah Bakal Dapat Voucher RM35.00 Sehari

Warga Kota Pendapatan RM3000 Ke Bawah Bakal Dapat Voucher RM35.00 Sehari

Written By Unknown on 03/02/2014 | 10:18 pm

baucer-kerja-e-kasih

Individu berpendapatan bawah RM3,000 di kawasan bandar, layak mendapat bantuan RM35 sehari menerusi program Baucar Kerja yang diselia oleh Kementerian Sumber Manusia.
Dilancarkan pada peringkat perintis pada April ini, ia akan menyaksikan penglibatan seramai 100 peserta yang tergolong di bawah tahap miskin bandar.
Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JobsMalaysia), Yusuff Harun berkata bantuan tambahan tersebut dijangka dapat membantu golongan ini dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Namun, bantuan itu tidak akan diberikan sewenang-wenangnya. Mereka harus mendapatkan pekerjaan sambilan bagi melayakkan mereka mendapat bantuan tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
“Golongan itu hendaklah mencari kerja sambilan terlebih dahulu, dan kita akan menyumbang sebanyak RM35 sehari.
“Jumlah tersebut boleh dituntut setiap hari atau pun pada setiap hujung bulan, bergantung kepada keperluan individu tersebut,” katanya.
Program Baucar Kerja menyasarkan golongan bekerja di kawasan bandar yang berpendapatan kurang daripada RM3,000, dan individu yang tidak bekerja.
Ia juga menyasarkan golongan terpinggir seperti bekas banduan, bekas penagih dadah, warga emas, golongan kurang upaya, Orang Asli dan pelajar keciciran.
JobsMalaysia akan memastikan pemilihan peserta dilakukan secara teliti berdasarkan kaedah pemilihan profil dan dirujuk dari pangkalan e-kasih.
e-kasih merupakan pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.
Individu yang layak akan dihubungi secara terus, kata Yusuff.
Berdasarkan pangkalan data e-kasih terkini, golongan dalam kumpulan miskin dan miskin tegar kini mencecah 500,000 orang.
Menurut Yusuff, bagi individu yang terikat dengan kontrak pengambilan pekerja yang tidak membenarkan mereka melakukan dua kerja pada masa yang sama, JobsMalaysia akan memainkan peranan sebagai orang tengah untuk berunding dengan majikan bagi membenarkan pekerja untuk melakukan kerja sambilan.
“Bagaimanapun ia tertakluk kepada akta-akta pekerjaan dan buruh yang berkaitan,” katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger