Home » » #prkKajang ; Lee Chong Wei Tawar Diri?

#prkKajang ; Lee Chong Wei Tawar Diri?

Written By Unknown on 01/02/2014 | 1:41 am


MCA telah menyenarai pendek calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang, Selangor, kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.


Beliau berkata senarai calon itu akan diserahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional(BN) dalam masa terdekat bagi membuat keputusan calon mana yang layak bertanding di kawasan itu.

"Pilihan raya kecil di Kajang nanti adalah amat penting bagi MCA dan BN. Saya berharap kita bersama-sama kerja keras untuk memenangi Dun ini kerana kita juga nak pastikan suara kita lebih kuat untuk membela nasib rakyat di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di ibu pejabat parti komponen BN itu sini hari ini.

Pilihan raya kecil bakal diadakan berikutan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri Kajang Lee Chin Cheh dari PKR mengosongkan kerusi itu Isnin lepas.

Rentetan daripada peletakan jawatan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Penasihat PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon seandainya pilihan raya kecil diadakan.

Mengenai cadangan meletakkan pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei sebagai calon MCA di Kajang, Tiong Lai enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu walaupun menyifatkan terdapat kemungkinan populariti atlet itu dapat menandingi populariti Anwar.

Semalam, akhbar melaporkan Ketua Umno Bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainul berpendapat MCA perlu meletakkan calon popular untuk mengatasi Anwar dan mencadangkan Chong Wei sebagai calonnya.

Sementara itu, Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie ketika ditemui pemberita berkata Tiong Lai perlu bertegas untuk meletakkan calon MCA bagi bertanding di kerusi Dun itu kerana ia merupakan kerusi tradisi MCA.

Beliau percaya dengan sokongan komponen parti BN dan jentera parti, harapan untuk memenangi kerusi Dun itu adalah cerah ditambah dengan transformasi kepimpinan baharu MCA.

"Ada harapan (untuk menang), jika kita lihat kepada majoriti undi pada pilihan raya umum lepas, ia hanya 6,000 lebih sahaja, dan dengan transformasi dilakukan oleh MCA, kedudukan (MCA) adalah lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Heng berkata jentera pilihan raya kecil Wanita MCA yang dipengerusikan Pengerusi Wanita MCA Selangor Ong Chong Swen akan berusaha memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil itu nanti.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan wanita diletakkan sebagai calon MCA pada pilihan raya kecil itu.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger