Home » » Kerajaan BN Ambil Alih Hutang Bebaskan Nelayan

Kerajaan BN Ambil Alih Hutang Bebaskan Nelayan

Written By Unknown on 10/02/2014 | 9:00 am

Ismail Sabri Yaakob

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini melancarkan jihad memerangi orang tengah dalam sektor perikanan dengan lapan strategi utama bagi membebaskan golongan nelayan daripada terus berada dalam cengkaman orang tengah.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara pendekatan agresif yang diambil kementerian dalam strategi itu termasuk mengambil alih hutang nelayan sebanyak RM40 juta daripada orang tengah menerusi Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun).

“Hasil kajian yang dilakukan, dianggarkan kebanyakan 47,000 nelayan Zon A dan Zon B berhutang dengan orang tengah menyebabkan mereka terikat dan terpaksa menjual hasil kepada pihak berkenaan.

Untuk itu, kita akan selamatkan dan bebaskan hutang mereka daripada orang tengah. Tekun akan ambil alih serta bayar secara langsung dan selepas ini mereka hanya akan berhutang dengan Tekun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jihad memerangi orang tengah dalam subsektor pertanian di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan di sini hari ini.

Ismail berkata pendekatan ini juga lebih baik daripada berhutang dengan orang tengah kerana Tekun tidak akan mengutip hutang daripada para nelayan semasa musim tengkujuh memandangkan kesulitan yang dialami golongan berkenaan pada musim itu.

Beliau juga berkata kerajaan menerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) akan menyediakan tabung pinjaman tanpa faedah untuk kecemasan sebanyak RM50,000 kepada 87 persatuan nelayan kawasan termasuk di Sabah dan Sarawak bagi mengelakkan golongan ini terus bergantung dengan orang tengah.

“Kerajaan juga menerusi Tekun bersedia memberikan pinjaman kepada nelayan yang ingin membeli bot ataupun sampan,” katanya.

Malah jumlah pasar nelayan pada tahun ini akan ditambah dengan mewujudkan 50 pasar nelayan baharu di seluruh negara bagi membolehkan nelayan atau kaum keluarga mereka memasarkan sendiri hasil mereka, katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, Nekmat juga akan memainkan peranan membeli ikan-ikan daripada nelayan dengan menawarkan harga setanding dengan yang ditawarkan orang tengah.

Katanya, nelayan juga boleh menjual produk mereka kepada Nekmat untuk tujuan sejuk beku memandangkan persatuan itu kini sedang berusaha untuk menambah dan memperluaskan lagi pasaran ikan sejuk beku.

Pusat pengumpulan dan pengedaran ikan juga akan diwujudkan untuk membolehkan nelayan yang enggan menjual hasil mereka kepada Nekmat boleh terus
melakukannya dengan peniaga pasar tani atau pasar-pasar harian di pusat berkenaan, kata Ismail.

Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan juga bersedia memberikan lebih banyak tapak pasar tani kepada golongan nelayan untuk mereka
menjual sendiri hasil laut yang diperoleh dengan harga yang berpatutan sekali gus memberikan keuntungan bukan sahaja kepada para nelayan tetapi juga
pelanggan.

“Lapan strategi berkenaan merupakan jalan keluar yang disediakan kerajaan bagi mengelakkan para nelayan daripada terus bergantung kepada orang tengah
tetapi kerajaan tidak boleh memaksa mereka dan kementerian memahami bukan senang untuk mengubah pemikiran nelayan yang secara tradisinya bergantung kepada orang tengah sejak sekian lama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian akan mengadakan dialog serta pertemuan yang lebih kerap dengan para nelayan bagi tujuan itu dan berharap apa
yang dilakukan kementerian ini akan dapat menghapuskan tekanan orang tengah, meningkatkan pendapatan nelayan sekali gus mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmod dan Ketua Pengarah LKIM Datuk Mohad Khazin Hamzah.

mynewshub
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger