Home » » Foto Banduan Terlepas Hukuman Gantung, Arahan Sultan Johor

Foto Banduan Terlepas Hukuman Gantung, Arahan Sultan Johor

Written By Unknown on 10/02/2014 | 8:00 am


PETALING JAYA: Pelaksanaan hukuman gantung sampai mati terhadap banduan P.Chandran yang dijadualkan pada awal Jumaat dihentikan, selepas mendapat arahan Sultan Johor berikutan rayuan daripada keluarga.

Abang Chandran, Thamotharan berkata dia menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai di Jabatan Penjara, lewat Khamis.

"Mereka memberitahu saya bahawa hukuman itu telah dihentikan sementara dan pihak berkuasa akan meneliti kes itu.

"Saya juga dimaklumkan bahawa keputusan untuk menangguhkan hukumannya dibuat selepas mendapat arahan daripada Sultan Johor semalam (Khamis) petang," katanya, sambil menambah seluruh keluarga sangat berterima kasih kepada Sultan.

Thamotharan berkata dia difahamkan bahawa Pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, telah memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai isu itu.

"Kami berterima kasih kepada mereka dan juga setiap organisasi dan orang ramai yang bersama dengan kami yang merayu untuk mendapatkan pengampunan untuk Chandran daripada dikenakan hukuman mati," katanya.

Tahun lepas, anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam Semakan Kedua Rekod Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) di Geneva, sebulat suara meminta kerajaan Malaysia mengkaji semula hukuman mati.

Setiausaha Hindraf kebangsaan P. Ramesh berkata, berikutan itu, kerajaan telah bersetuju untuk membentangkan satu laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB bulan depan.

"Isu ini telah dibangkitkan tidak kurang daripada empat tahun yang lalu, iaitu apabila kerajaan memutuskan untuk menangguhkan semua hukuman mati," katanya.

Chandran didakwa membunuh dengan niat bersama beberapa orang lelaki yang masih bebas yang menyebabkan kematian K.Muthuraman, 36, di hadapan sebuah rumah di No. 94, Jalan Lading 22, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, pada pukul 8.15 malam, 19 Julai 2003.

Chandran, yang telah dipenjarakan selama 11 tahun lalu, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.


mstar
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger