Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad mendakwa terdapat pengkhianat dalam kalangan anggota Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang menyalurkan maklumat sulit pihak berkuasa tempatan tersebut kepada kumpulan samseng.
Beliau mendakwa, perkara itu diketahui kerana bekas Ahli Majlis MPAJ, Ahmad Fauzi Khamis diugut oleh kumpulan samseng berikutan tindakannya membangkitkan isu kewujudan siber kafe yang tidak mematuhi peraturan di Kampung Pandan pada mesyuarat Ahli Majlis MPAJ sebelum ini.
“Jelas sekali maklumat perjalanan mesyuarat tersebut telah dibocorkan. Tahun lalu pula penguatkuasa MPAJ yang mahu menyampaikan notis kepada pemilik sebuah premis perniagaan tanpa izin diserang sekumpulan lelaki berparang.
“Pembocoran maklumat ini terbukti kerana samseng tersebut memiliki maklumat tepat tarikh dan masa notis itu akan disampaikan oleh penguatkuasa terbabit,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Iskandar mendakwa, keganasan kumpulan samseng tersebut ke atas Ahli Majlis berulang semalam apabila cermin kereta Ahmad Fauzi Khamis dipecahkan berikutan operasi yang dilakukan MPAJ terhadap peniaga tanpa izin di kawasan itu pada Selasa lalu.
“Sebelum kejadian, terdapat dua individu datang mencari Ahmad Fauzi di rumahnya, tetapi ketika itu beliau berada di luar. Terdapat saksi mengenali mereka yang datang ke rumah Ahli Majlis tersebut,” dakwanya.
Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis tentang kejadian itu telah dibuat oleh Ahmad Fauzi dan demi keselamatan, Ahli Majlis tersebut dan keluarganya dipindahkan ke tempat lain buat sementara waktu.
Justeru, beliau meminta pihak polis melipatgandakan usaha untuk mengenal pasti kumpulan samseng di Kampung Pandan supaya penduduk kawasan itu dapat hidup dengan aman dan tenang.
“Janganlah menunggu sehingga berlaku kematian untuk bertindak tegas,” katanya.
mynewshub
Post a Comment