Home » » Selangor ; Suami Berzina Dengan Kekasih Depan Mayat Isteri

Selangor ; Suami Berzina Dengan Kekasih Depan Mayat Isteri

Written By Unknown on 03/01/2014 | 10:20 am



SHAH ALAM: Pengurus sebuah syarikat katering, Mohafri Mohamed tergamak melakukan hubungan seks dengan kekasihnya di bilik utama yang sama di mana mayat isterinya disumbat ke dalam almari selepas dibunuh.

Teman wanita tertuduh, Nazratul Anis Zainal Abidin, 23, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, selepas masuk dan meletakkan beg pakaian di ruang tamu dia kemudiannya naik ke bilik utama untuk menggunakan tandas. Selepas itu, katanya, Mohafri mengajaknya melakukan hubungan seks.

“Pada mulanya saya tidak mahu, tetapi tertuduh kata sekejap sahaja,” katanya yang mengenali tertuduh sebagai berstatus duda semasa mereka bekerja di Tropicana Medical Centre pada 2009.

Ketika ditanya mengenai kedudukan almari pakaian berkenaan, saksi pendakwaan kelima itu memberitahu, pandangannya tidak jelas kerana tidak memakai cermin mata yang diletakkan di atas kabinet.

Tambah Nazratul Anis, tertuduh juga berkelakuan seolah-olah mahu menghalang pandangannya di bahagian kiri kerana sering berdiri di sebelah kiri dan juga menunggunya keluar daripada tandas.

Saksi menambah, dia tidak melihat perkara luar biasa ataupun mendengar bunyi orang mengerang semasa berada di bilik itu.

Mohafri, 37, yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus syarikat katering dibicarakan atas tuduhan membunuh Fazlina, 38, antara pukul 5 dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009 di rumah nombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang.

Dia yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mayat Fazlina, ibu kepada dua orang anak itu ditemui dibaluti kain selimut tebal dan diletakkan di bahagian bawah almari pakaian manakala hidung dan mulutnya ditekup dengan menggunakan pita pelekat.

Mangsa juga merupakan seorang penghidap asma kronik.

Terdahulu, saksi berkenaan memberitahu, dia bertolak pada pukul 1 petang dari Parit Buntar, Perak dan tiba di Perhentian Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur (dekat sini) pada pukul 5 petang.

Katanya, tertuduh datang menjemputnya dan membawa dia ke sebuah rumah teres dua tingkat di Ampang.

Katanya lagi, selepas mengadakan hubungan seks dia mendengar bunyi loceng dan tertuduh telah mengarahkan saksi untuk mendiamkan diri manakala tertuduh menuju ke arah tingkap.

“Saya ada menyuruh tertuduh membuka pintu kerana mungkin ada sesiapa di luar, mungkin ada pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi tertuduh beritahu ada seorang perempuan memakai seragam polis di luar rumah,” katanya.

Tertuduh semasa itu tidak mahu membuka pintu dan memberi alasan polis itu mencari pembantu rumahnya yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.

Mengenai hubungan sulit mereka, Nazratul Anis berkata, mereka telah merancang untuk ke sempadan Thailand bagi urusan pernikahan pada hari kejadian pembunuhan itu berlaku.

Katanya, rancangan untuk bernikah di sempadan Thailand dibuat ekoran hubungan mereka tidak direstui oleh bapanya dan tertuduh telah menguruskan segala urusan berkaitan pernikahan.

Sehubungan itu, Nazratul Anis telah menaiki bas daripada Parit Buntar, Perak untuk berjumpa dengan tertuduh sebelum mereka menaiki kereta api ke Perlis.

Selepas keluar dari rumah berkenaan, saksi yang bertubuh kecil molek itu seterusnya memberitahu, mereka dijemput oleh adik Mohafri yang dkenali sebagai Hanafi dengan kereta Proton Wira untuk ke perhentian Transit Aliran Ringan (LRT).

“Saya dan tertuduh menaiki teksi untuk ke KL Sentral kerana kereta api kami bertolak pada pukul 8.15 malam. Sepanjang perjalanan, saya nampak tertuduh sibuk bercakap di telefon bimbit.

“Pada pukul 9 malam, ketika kereta api sampai di stesen Rawang, dekat sini saya dan tertuduh turun. Saya tanya tertuduh kenapa dan dia cakap dia terpaksa buat laporan polis tentang kehilangan Fazlina.

“Saya cakap, apa kaitan dia dengan Fazlina kerana mereka dah bercerai. Dia jawab, "dia orang" yang desak dia untuk buat laporan. Tapi saya tidak tahu siapa yang dimaksudkan dengan ‘dia orang’,” katanya yang ditinggalkan tertuduh dan diarahkan pulang semula ke Kuala Lumpur sendirian.

Bagaimanapun, Nazratul Anis menghubungi rakannya, Nur Ikhwan Abadi Andi Samsinar yang dipanggil Wan agar menjemputnya di stesen kereta api Sungai Buloh.

“Wan bawa saya ke tempat kerjanya kerana dia masih belum habis waktu bekerja sementara saya menunggu di dalam kereta sehingga pukul 10.30 malam. Selepas itu, kami pergi ke rumah tertuduh.

“Masa sampai, kawasan itu telah dikepung oleh polis. Wan buat satu pusingan dan letak kereta di belakang. Wan suruh saya duduk di dalam kereta sambil dia pergi bertanyakan orang.

“Wan kemudian memberitahu saya ada kes suami bunuh isteri,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar.

Saksi itu menambah, dia membuat laporan polis selepas diminta oleh Wan memandangkan dia adalah individu terakhir bersama tertuduh. Di balai polis, dia dibawa ke sebuah bilik untuk diambil keterangan dan telefon bimbitnya dirampas.

Sementara itu, kakak mangsa yang bernama Faezah selaku saksi pendakwaan keenam menangis apabila dirujuk gambar adiknya dan memberitahu dia mula rapat dengan adik bongsunya sejak akhir tahun lalu.

“Fazlina ada memberitahu bahawa dia menghadapi masalah rumah tangga disebabkan orang ketiga dan mereka hendak bercerai,” katanya.

Saksi yang bekerja sebagai penolong jururawat di Pulau Pinang juga memberitahu, kali terkahir dia menghubungi mangsa ialah pada pukul 5.30 pagi, hari kejadian bagi meminta mangsa mengambil cuti kecemasan untuk membawa bapa mereka yang berada di Kulim,Kedah yang sakit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung 13 Januari depan.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger