Rampas Injil Tidak Akan Berlaku Jika Pihak Kristian Ikut Undang-undang
Dalam memperkatakan mengenai tindakan JAIS merampas Injil berbahasa Melayu dan Iban di premis Bible Society of Malaysia baru-baru ini, kita wajar merujuk kepada Enakmen 1988 mengenai Kawalan Penyebaran Agama (lain) kepada Orang Islam di Selangor. Untuk pengetahuan, enakmen tersebut yang menyatakan bahawa bukan Islam adalah dilarang menggunakan 35 perkataan Arab dan ungkapan dalam agama mereka termasuk ‘Allah’, ‘Nabi’, ‘Injil’ dan InsyaAllah’, tidak pernah dimansuhkan.
Selain itu, kita juga wajar merujuk keputusan kes The Herald sebelum ini yang mana turut menghalang penggunaan nama Allah di dalamnya dan bahawa penggunaan nama Allah dalam aktiviti dan risalah keagamaan Kristian hanya dibolehkan di Sabah dan Sarawak.
Enakmen dan keputusan kes The Herald adalah selaras dengan amalan harian masyarakat Malaysia sejak azali lagi. Penganut Kristian tidak pernah mengalami masalah dengan amalan dan undang-undang ini dan umat Islam juga tidak ada masalah dengan penganut Kristian.
Bagaimanapun, pada hari ini beberapa pemimpin Kristian telah dengan sengaja ingin mengubah amalan tersebut sekali gus mencetuskan masalah dan ketegangan. Pemimpin agama Kristian akhir-akhir ini dilihat sengaja mencabar undang-undang di mana melalui BSM, mereka berdegil menggunakan kalimah Allah di dalam 320 Injil berbahasa Melayu dan Iban yang bakal diedarkan. Tindakan mereka pastinya menyentak kesabaran pihak berkuasa serta menimbulkan kemarahan umat Islam.
Lebih dari itu ia turut menimbulkan kehairanan di kalangan penganut Kristian sendiri yang rata-ratanya tidak pernah, tidak ingin dan tidak nampak apa-apa keperluan pun untuk menggunakan nama Allah dalam amalan agama mereka. Peliknya, mereka juga enggan bersuara mempersoalkan tindakan pemimpin agama mereka.
Pemimpin Kristian ini mendapat pembelaan NGO yang memperjuangkan liberalisasi iaitu keterbukaan dan kebebasan tanpa had - meliputi agama dan perlakuan seks. NGO ini yang diwakili oleh Marina Mahathir yang juga mewakili Majlis Perundingan Perpaduan Negara telah bertindak menyertai penganut Kristian di gereja Our Lady of Lourdes, Klang bagi menyatakan sokongannya terhadap BSM dan juga kecamannya terhadap JAIS.
Marina menyatakan bahawa tindakan tegas JAIS ke atas pihak Kristian yang melanggar undang-undang adalah tidak adil atau bersifat membuli. Marina bagaimanapun langsung tidak membangkitkan soal kenapa perlunya Kristian merujuk kepada Tuhan mereka sebagai ‘Allah’ akhir-akhir ini.
Pendek kata, bagi Marina, Kristian punya hak untuk menggelar Tuhan mereka dengan apa jua nama termasuk nama Allah, biarpun sifat Tuhan agama Kristian langsung tidak menepati Allah yang Esa dan JAIS atau umat Islam tidak punya hak untuk mempersoalkannya.
Marina mahu agar rakyat melihat JAIS sebagai zalim dan kerajaan sebagai berat sebelah kepada Islam biarpun yang mula-mula mencabar Islam dan undang-undang adalah pihak Kristian.
Kita tertanya-tanya, inikah yang dipanggil ‘keadilan’ dalam kamus liberalisasi Marina, iaitu apa-apa yang bertentangan dengan Islam pastinya zalim, kejam, kolot dan salah? Sedarkah Marina bahawa penganut Kristian sendiri merasa pelik melihat gelagat Marina dan pemimpin Kristian yang gemar mencari masalah dengan umat Islam?
Marina terlalu angkuh dan tidak mampu membayangkan dirinya dari kaca mata orang. Di dalam dunia Marina yang sempit, beliau menyangkakan bahawa lebih seratus orang yang menyatakan sokongan kepadanya itu sebagai mewakili suara majoriti rakyat. Sedangkan, realitinya amatlah jauh dari yang disangkanya.
Pada hari ini, Marina memperlihatkan hipokrasi dirinya dan penentangannya terhadap Islam dengan jelas. Marina hidup di kalangan kelompok kecil kumpulan liberal yang berkiblatkan Barat. Marina mempunyai mentaliti dijajah yang kronik. Baginya, adat dan agama yang berkaitan bangsanya sendiri iaitu Melayu dan Islam adalah buruk dan memalukan.
Dari segi psikologi, Marina adalah contoh manusia yang mempunyai ‘inferiority complex’ yang rumit. Beliau angkuh dalam rasa rendah dirinya. Beliau memusuhi diri sendiri sebagai Melayu yang dilahirkan dalam keluarga beragama Islam. Oleh itu, Marina akan menyokong apa saja yang bertentangan dengan Melayu dan Islam. Sesiapa yang menunjukkan cara pemikiran yang berbeza darinya akan ditempelak sebagai kolot dan hanya dirinya sajalah yang bijak.
Jika ini tidak benar, maka Marina tentu dapat melihat dengan jelas bahawa isu JAIS merampas Injil dari Bible Society of Malaysia (BSM) tidak akan berlaku sekiranya BSM akur pada undang-undang dan hormat pada umat Islam. Malangnya, Marina tidak dapat melihat apa-apa lagi kerana telah dibutakan oleh keangkuhan dan kebodohan sendiri.
Post a Comment