Kalimah 'Allah' itu berkumandang di gereja Our Lady of Lourdes dalam bentuk lagu pujian (hymn) dan doa upacara keagamaan (mass) menggunakan bahasa Melayu.
Kira-kira 200 orang yang hadir itu antara lainnya mengulangi pujian "Bapa Tuhan Allah" dan "Tuhan kami yang kudus, Allah" sekurang-kurangnya sebanyak empat kali dalam nyanyian lagu dan juga doa sebelum ucapan utama.
Kalimah 'Allah' yang digunakan itu merujuk kepada konsep triniti dalam kepercayaan Kristian.
Upacara diketuai paderi Michael Chua itu berlangsung ketika kira-kira 50 orang penganut Islam berhimpun sebagai tanda solidariti di luar gereja.
Michael dalam ucapannya mengucapkan penghargaan kepada individu yang hadir terima kasih memberi sokongan dan juga buat para anggota keselamatan yang menjaga keselamatan mereka.
Beliau juga berharap agar masyarakat Kristian dapat menjalankan tanggungjawab agama mereka tanpa gangguan.
"Ktia terus berdoa supaya situasi aman damai dapat berterusan di Malaysia.
Kehadiran berkurangan
"Kita dapat saling hormat menghormati dan umat Kristian ada kebebasan guna bahasa mereka sendiri untuk menyembah Tuhan," kata beliau dalam ucapannya hari ini.
Chua ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, kehadiran ke upacara dalam bahasa Melayu hari ini berkurangan berbanding kehadiran untuk upacara dalam bahasa Inggeris dan Tamil.
"Biasanya ada kira-kira 300 (hadirin) tapi hari ini ada lebih kurang 200 sahaja," kata beliau ketika ditemui di luar gereja.
Chua berkata, mungkin ramai hadirin memilih untuk pulang lebih awal atau tidak langsung tidak menghadiri acara tersebut disebabkan ancaman kumpulan yang dikatakan akan mengadakan bantahan di hadapan gereja mereka.
Katanya, beliau telah membuat laporan polis berhubung rancangan untuk mengadakan perhimpunan tersebut.
Satu gabungan NGO yang rapat dengan Umno Selangor pada hari Khamis lalu mengumumkan rancangan untuk mengadakan protes dan menghantar nota bantahan kepada paderi Lawrence Andrew.
Ia ekoran pendirian Andrew yang didakwa mencabar kuasa Sultan Selangor dan berkeras mahu orang Kristian dibenarkan mengguna nama 'Allah'.
Umno Selangor semalam mengeluarkan arahan kepada anggotanya untuk tidak menghadiri perhimpunan di gereja berkenaan.
Bagaimanapun, sesetengah anggota dan pemimpin Umno Selangor tetap muncul dalam perhimpunan anjuran NGO yang dikenali sebagai Sekretariat Solidariti Muslim Klang, di satu padang kira-kira 1km dari gereja tersebut hari ini.
Post a Comment