Mereka langsung tidak bersyukur sebaliknya sanggup melakukan perbuatan khianat terhadap kemudahan di pusat pemindahan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, beliau menerima aduan berhubung tindakan individu tidak bertanggungjawab mengumpil cermin tingkap untuk masuk ke dalam dua kelas pendidikan khas yang berkunci.
Menurutnya, akibat perbuatan itu, sebuah televisyen, kain langsir, buku dan beberapa peralatan mengajar pelajar pendidikan khas hilang manakala kerusi dan gambar pada dinding kelas turut dirosakkan.
“SK Belukar menempatkan lebih 4,000 mangsa banjir dari beberapa kampung seperti Kampung Belukar, Kampung Razali dan Kampung Seri Belat selama seminggu sepanjang bencana banjir baru-baru ini.
“Saya terkilan dengan kejadian yang berlaku kerana masih ada individu yang sanggup mencuri dan merosakkan harta benda sekolah lebih-lebih lagi membabitkan barangan di kelas pendidikan khas walaupun ketika berdepan musibah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan televisyen kepada SK Belukar untuk ditempatkan di kelas pendidikan khas, semalam.
Shafik Fauzan berkata, walaupun perbuatan itu hanya dilakukan satu atau dua individu tidak bertanggungjawab namun imej buruk turut terpalit kepada semua mangsa banjir yang berada di sekolah berkenaan.
“Ada sesetengah mangsa banjir bersikap biadab apabila menyusun berpuluh botol berisi air kencing di atas tembok sekolah dipercayai sebagai tanda bantahan terhadap kekurangan yang dihadapi ketika berada di pusat pemindahan berkenaan.
“Saya difahamkan pihak sekolah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan khusus untuk menyelenggarakan tandas yang tersumbat akibat tindakan pihak tertentu membuang lampin pakai buang,” katanya.
Beliau berkata, selain SK Belukar, kes yang sama dilaporkan berlaku di beberapa sekolah lain yang dijadikan pusat pemindahan.
Post a Comment