Oleh ZR ;
Isu pemecatan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah merupakan antara isu penting yang dibincangkan melalui Mesyuarat Pimpinan PKR Negeri Selangor malam tadi.
Menurut Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mesyuarat yang diadakan malam tadi memutuskan untuk mendesak Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim supaya menyatakan rasional di sebalik keputusan yang dilakukan untuk meyakinkan pimpinan parti itu.
"Itu isu yang kita bincangkan sebab kita tak dapat maklumat langsung tentang 'u-turn' itu. Itu yang kita nak penjelasan. Saya harap mereka (Khalid) beri penjelasan nanti," katanya.
Ini kerana, melalui Kongres PKR yang berlangsung Oktober lalu telah menetapkan sebarang urusan politik yang ditetapkan negeri perlu mendapat pengesahan parti, sekaligus dimaklumkan kepada Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Walau bagaimanapun, sehingga kini masih tiada sebarang pengesahan sama ada kontrak perkhidmatan Azmin sebagai ahli Lembaga Pengarah ditamatkan, tidak diperbaharui atau dipecat oleh PKNS atas arahan Khalid.
Azmin yang juga merupakan Ketua PKR Selangor semalam, mengesahkan telah menerima surat makluman berhubung perkara itu. Dia walau bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara itu, sebaliknya menyatakan akan membuat pengumuman mengenainya pada mesyuarat lembaga pengarah PKNS yang akan dipengerusikan oleh Khalid, 20 Januari ini.
Isu mengenai pemecatan Azmin ini, telah menimbulkan kemarahan di kalangan para penyokongnya yang menyifatkan ia sebagai satu tindakan membalas dendam. Ia ekoran dari kritikan-kritikan yang dilemparkan oleh Azmin terhadap pelbagai keputusan yang dibuat oleh pentadbiran Khalid sebelum ini.
Antaranya berhubung keputusan kerajaan negeri untuk memberikan kenaikan mendadak terhadap gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor sehingga 373 peratus. Selain daripada itu, Azmin juga dilaporkan telah bertindak untuk mengemukakan memorandum kepada Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri pada 7 Oktober lalu.
Mengulas lanjut, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang memberitahu Khalid tidak hadir ke mesyuarat yang diadakan malam tadi walaupun sudah diberitahu. Malah, wakil daripada pihak Khalid juga tidak hadir.
"Dia (Khalid) tak datang. Dalam (mesyuarat) Majlis PKR Negeri, semua ketua-ketua cabang adalah anggota majlis negeri. Beliau (Khalid) sebagai Ketua Cabang Kuala Selangor dijemput untuk hadir," katanya lagi.
Sebelum ini, pelbagai gesaan sudah disuarakan kepada Khalid untuk menilai kembali komitmennya terhadap perjuangan PKR. Ia ekoran Khalid sering tidak hadir ke mesyuarat parti dan hanya menghantar wakilnya sahaja.
Post a Comment