Home » » Kalimah Allah: Bila Akan DiAmbil Tindakan Ke Atas Mereka Yang Menghina Mahkamah?

Kalimah Allah: Bila Akan DiAmbil Tindakan Ke Atas Mereka Yang Menghina Mahkamah?

Written By Unknown on 13/01/2014 | 4:30 pm



Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan melarang penerbitan majalah mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu selepas merumuskan penggunaan kalimah ‘Allah’ bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian. 

Bagaimanapun, Pengarang majalah Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew kemudiannya secara biadab telah membuat kenyataan bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya.

Kenyataan Andrew bukan sahaja menghina keputusan Mahkamah Rayuan, malahan turut bercanggah dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 14 Disember lalu.

Sultan Sharafuddin antara lain menegaskan, semua rakyat, khasnya di Selangor, tanpa mengira kaum dan latar belakang, perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam seperti yang tertakluk mengikut peruntukan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Hari ini, kemelut kalimah ‘Allah’ menjadi semakin rumit apabila Bible Society Malaysia (BSM) pula bertindak membelakangkan mahkamah dan menderhaka titah Sultan dengan terus mengedar Bible Melayu dengan nama ‘Allah’ di dalamnya.  Akibatnya, premis BSM telah diserbu oleh JAIS dan bible tersebut dirampas. 

Kejadian ini digunakan sepenuhnya oleh pihak Kristian untuk menimbulkan gambaran buruk terhadap JAIS, Islam dan juga kerajaan walaupun apa yang berlaku ialah pihak mereka yang sebenarnya melanggar undang-undang. 

Setiap negara ada undang-undang dan setiap rakyat wajib akur kepada undang-undang.  Undang-undang dibuat bagi memastikan keadaan berada dalam keadaan terkawal, selain menegakkan keadilan.  Apabila ada pihak yang dengan sengaja melanggar dan tidak menghormati undang-undang maka keadaan akan menjadi huru-hara dan negara mampu menjadi tidak stabil. 

Manusia yang bertamadun tidak punya masalah untuk patuh kepada undang-undang biarpun kadangkala mereka merasakan yang ia tidak menepati citarasanya.  Dalam negara demokrasi, biarpun semua golongan punya hak masing-masing, namun kehendak majoriti wajib diutamakan.  Ini adalah keadilan mengikut sistem demokrasi. 

Apa yang pelik ialah pihak yang begitu lantang memperjuangkan demokrasi di Malaysia enggan menerima hakikat ini, iaitu kehendak majoriti adalah lebih utama dari minoriti.  Pada hari ini, mereka ini berjuang bermati-matian untuk membela tindakan 9% penganut Kristian mencabar undang-undang negara serta kehendak majoriti rakyat.  Hujah mereka, mereka hanya memperjuangkan kebebasan beragama atas nama demokrasi. 

Namun hipokrasi mereka terserlah apabila dalam mereka berhujah bahawa nama Tuhan bukan satu isu besar kerana semua agama merujuk kepada Tuhan yang sama, mereka berdegil ingin menggunakan nama ‘Allah’ juga bagi Injil berbahasa Melayu.  Kenapa tidak digunakan saja nama lain jika bagi mereka ia bukan satu isu?

Jelas, pihak pembela Kristian ini tidak faham bahawa dalam sistem demokrasi, kebebasan dan hak sesiapa jua tidak harus mengatasi undang-undang.   Apatah lagi apabila undang-undang itu ternyata tidak pernah menimbulkan masalah, dan terbukti menjadi kunci keamanan dan kestabilan negara.   

Tidak cukup dengan mencabar majoriti dan membelakangkan undang-undang, mereka mencerca pula pihak yang menang di mahkamah.  Kemudian, mereka mempermainkan pula pihak berkuasa serta ‘memijak-mijak’ kepala DYMM Sultan seolah-olah Institusi DiRaja dan semua institusi penguatkuasaan di Malaysia tidak bermakna. 

Bagaikan manusia ‘barbarian’ mereka memakai undang-undang rimba iaitu sekadar mengikut ‘kepala otak’ sendiri.    

Sekiranya manusia tidak bertamadun ini tidak dikawal, kita khuatir yang negara mungkin akan huru-hara. Justeru, kita mendesak agar tindakan diambil segera ke atas mereka yang menghina mahmakah. 

Kes Kalimah Allah telah pun diputuskan di mahkamah dan adalah di bawah bidangkuasa hakim untuk menghukum mereka yang melanggar keputusannya.  Mengikut undang-undang yang kita ada sekarang, seseorang itu boleh dikenakan hukuman (penjara atau denda) jika sabit kesalahan 'menghina mahkamah' (contempt of court) apabila ia mempunyai kecenderungan (tendency) untuk campur tangan, menggugat atau mengganggu proses pentadbiran keadilan (interfere with the administration of justice).

Dalam kes ini, pihak Kristian, terutama Paderi Lawrence Andrew dan BSM telah secara jelas dan sengaja, mencabar dan melanggar keputusan mahkamah. 

Oleh itu, melihat dari kekusutan yang telah mereka cetuskan, adalah tidak wajar sekiranya tiada tindakan dikenakan ke atas mereka.  Kita bimbang jika mahkamah terus menerus melayan karenah pihak yang tidak bertamadun ini, maka integrasi mahkamah juga akan turut dipertikaikan. 

Kita tidak mahu Malaysia dilihat sebagai negara yang tidak bertamadun juga kerana tidak mampu menegakkan undang-undang dan mempertahankan keputusan mahkamah.  Kita juga tidak rela titah Sultan diperlekeh oleh warganegara Malaysia sendiri tanpa apa-apa tindakan dikenakan terhadap mereka. 


Semakin lama perkara ini berlarutan semakin ternampak seolah-olah Malaysia berada dalam keadaan hilang kawalan. 
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger