Home » » Johor ; Kambing Harga RM1.00

Johor ; Kambing Harga RM1.00

Written By Unknown on 13/01/2014 | 11:15 am




JOHOR BAHRU – Seorang penternak kambing mengulangi tawaran yang pernah dibuatnya sebelum ini dengan harga RM1 seekor bagi bayi bertuah yang dilahirkan di Johor pada hari Maulidur Rasul, esok.


Pengarah Urusan Osman Goat Farm, Osman Cheya Kutty berkata, tawaran memasuki tahun kedua itu menyediakan kira-kira 900 kambing, dan disasarkan lebih 100 bayi akan menerima sumbangan berkenaan pada majlis penyerahan yang akan diadakan Ahad depan.


Menurutnya, tujuan pihaknya berbuat demikian adalah untuk meringankan beban ibu bapa beragama Islam yang ingin melakukan akikah, sekali gus sebagai program tanggungjawab sosial mereka.


“Tahun lalu, kita beri sumbangan pada 51 bayi bertuah. Kali ini kita sasar lebih 100 bayi akan terima kambing yang disediakan.


"Sumbangan seperti ini adalah satu kepuasan kerana maklum balas yang kita terima tahun lalu sangat menggalakkan," katanya.


Menurutnya, pada mulanya dia berniat memberi secara percuma kambing tersebut, namun nilai RM1 adalah untuk menepati akad jual beli dalam akikah.


“Ibu bapa atau keluarga bayi berkenaan yang berminat boleh mengemukakan sijil kelahiran anak masing-masing ke pejabat kami bermula esok sehingga Sabtu depan untuk pengesahan tuntutan kambing berkenaan,” katanya semalam.


Osman berkata, majlis penyerahan dijangka dilakukan pada 19 Januari depan dan akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abdul Mutalib Abdul Rahim.


“Dalam tempoh berkenaan, kita beri peluang kepada mereka yang berminat untuk sertai program ini.


“Mereka boleh terima kambing itu sama ada masih hidup atau siap disembelih dan diproses. Kita beri tempoh dua minggu untuk tujuan penyimpanan haiwan tersebut,” katanya.


Katanya, harga kambing-kambing itu ialah antara RM800 dan RM950 seekor, tetapi akan ditawarkan dengan harga RM1 seekor kepada bayi bertuah walaupun ibu bapa mereka bukan dari negeri ini.


“Jika bayi yang lahir pada tarikh itu meninggal, kita tetap beri peluang kepada keluarga bayi berkenaan untuk beli kambing dengan harga RM1.


“Jika bayi bertuah itu kembar dua, kita beri dua ekor, tetapi dengan syarat dilahirkan di hospital kerajaan,” katanya.


Beliau berkata, dalam tempoh dua hari dari tarikh Maulidur Rasul itu, pihaknya turut membuat tawaran harga istimewa iaitu RM650 untuk seekor kambing kepada pelanggan yang ingin mengadakan majlis sambutan di masjid
atau surau.


“Pembeli hanya perlu mengemukakan surat pengesahan daripada masjid atau surau ketika berurusan untuk mendapatkan harga istimewa.


“Tawaran ini diberikan sebagai tanda terima kasih kepada para pelanggan dan diharap sumbangan ini dapat diteruskan,” katanya.


- Sinar Harian
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger