PENYANYI Puteri Caroline Mohd Kamel yang menjadi mangsa balingan botol ketika sambutan ambang Tahun Baru 2014 di Dataran Merdeka mengakui ketakutan dan sempat mengelak dari terkena botol yang terbang melayang ke arahnya.
“Cuak saya, nasib baik tak kena. Kalau terkena, mungkin tak pasal-pasal saja saya cedera,” kata Caroline.
Akibat kejadian itu, konsert ambang anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa dihentikan lebih awal begitu juga dengan persembahan bunga api yang terpaksa dibatalkan.
Kejadian baling botol dipercayai berlaku pada pukul 11.20 malam ketika Puteri Caroline yang pernah muncul dalam Mentor 6 sedang menyanyikan lagu popular Ella bertajuk Gemilang pada konsert itu.
Menurut Caroline dalam laporan Harian Metro Online hari ini, kumpulan perhimpunan Turun itu bergerak menghampiri kawasan pentas sebelum giliran persembahannya bermula tetapi ia masih terkawal.
“Mereka (peserta perhimpunan) sudah mula mendekati kawasan pentas ketika abang Jay Jay buat persembahan sebelum giliran saya. Tapi masa itu kami cuba tenangkan keadaan.
“Tak sangka pula apabila saya mula menyanyi, mereka makin dekat dengan pentas. Apabila saya baru nak masuk ke bahagian korus lagu itu, secara tiba-tiba mereka baling botol air ke arah saya.
“Saya sempat mengelak dan nasib baik, botol itu ‘terbang’ melayang tepat ke arah peralatan muzik di belakang saya. Dengan serta-merta, saya terus dibawa ke belakang pentas dan konsert dihentikan,” katanya yang pernah muncul juara dalam program Mentor musim ke-6.
Selain Caroline, konsert itu turut disertai antaranya Jay Jay, Najwa Latif, Amy Search dan Zainal Abidin. Dianggarkan lebih 10,000 penonton menyaksikan konsert yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu.
Najwa pula sudah bergerak keluar dari kawasan Dataran Merdeka sebaik selesai giliran persembahannya pada pukul 11.20 malam.
Caroline berkata, bagaimanapun dia bersyukur kerana tiada perkara buruk atau kecederaan berlaku akibat insiden berkenaan.
Post a Comment