Bagaimana sebuah parti yang tidak mempunyai ahli jawatankuasa
pusat yang sah boleh terus beroperasi dan berfungsi seperti
biasa? Bagaimana ahli jawatankuasa haram ini boleh bertindak sebagai
pentadbir dan pengurus kepada parti dan berbuat sesuka hati?
Namun, itulah yang berlaku dalam parti DAP. Sehingga ke hari ini,
masalah pengundian dan perlantikan CEC DAP masih lagi tidak selesai.
Sebagai sebuah parti samseng, para pemimpin DAP cuba mengenepikan
undang-undang pertubuhan dan ingin terus berlagak seolah-olah mereka tidak
bersalah. Mereka juga cuba menyalahkan kerajaan, ROS, UMNO, ‘cuaca’
dan mungkin juga ‘harga pasaran kangkung semasa’, atas apa yang berlaku dalam
parti mereka.
Kononnya, semua masalah yang melanda DAP adalah permainan UMNO
melalui ROS.
Hakikatnya, tugas menghantar notis kepada perwakilan DAP bukan
tugas UMNO. Tugas mengira undi CEC juga bukan tugas
UMNO. Justeru, bagaimana pula UMNO boleh menjadi punca kemelut dalam
DAP?
Bagi menyelamatkan air muka DAP, Pengerusi Biro Undang-undangnya,
Gobind Singh Deo, telah mewar-warkan yang beliau telah menghantar ‘surat
guaman’ kepada ROS. Harapannya agar dapatlah DAP memperlihatkan
kepada rakyat bahawa masalah notis mesyuarat CEC tidak diterima dan juga
kehilangan perwakilan dalam proses pengundian CEC adalah salah ROS.
Bagaimanapun, rakyat tahu bahawa tugas menghantar notis dan
menjemput perwakilan DAP bukan tugas ROS. Oleh itu, kedudukan ahli
jawatankuasa DAP menjadi tidak sah pada hari ini bukanlah salah ROS.
Sebaliknya, ROS hanya menjadi tempat mengadu oleh para perwakilan
DAP yang merasakan diri mereka telah teraniaya, terpinggir atau dipermainkan
oleh pemimpin sendiri.
Apa yang lebih menarik ialah ROS menafikan ada menerima apa-apa
surat guaman, surat saman atau surat cinta dari DAP.
Kebetulan, ROS sememangnya ada menunggu ‘surat’ dari DAP iaitu
surat-surat notis mesyuarat yang dikatakan telah dihantar tetapi tidak diterima
oleh lebih 700 perwakilan dalam pemilihan awal. ROS juga sedang
menunggu surat penjelasan yang terperinci dari pihak pemimpin DAP mengenai
aduan ahli-ahli mereka sendiri.
Namun, satu-satunya surat yang diterima oleh ROS dari DAP ialah
berkenaan memohon penjelasan mengenai pengesahan jawatankuasa CEC yang ditandatangani
sendiri oleh Lim Guan Eng - itu saja.
Jika Guan Eng sendiri sedar bahawa kedudukan sendiri tidak sah,
apa hal pula Gobind Singh ingin menyaman ROS?
Nampaknya, ROS akan terus menunggu penjelasan DAP dan DAP pula
akan terus menipu. Sementara itu, parti DAP akan terus diterajui oleh
jawatankuasa yang tidak sah.
Inikah parti yang kononnya melaungkan ‘cekap, amanah dan telus’
serta keadilan untuk semua?
Post a Comment