Kuala Lumpur: Rutin harian seorang lelaki warga emas sejak setahun lalu ialah datang awal menunggu waktu untuk menunaikan setiap solat fardu di Surau Jumaat Al-Hidayah UTC-KL (Pudu Sentral), di sini.
Kelmarin, ketika menunggu waktu solat fardu Asar, Allahyarham Zuhdi Ahmad, 75, meninggal dunia dalam keadaan bersandar di dinding surau tempat sama kebiasaannya dia berbuat demikian.
Ia ganjaran jelas di dunia dikurniakan Allah kepada bekas penyampai berita radio Radio Televisyen Malaysia (RTM) era 70-an yang berasal dari Ayer Tawar, Perak, itu, dan disahkan meninggal dunia jam 5.10 petang.
Imam Surau Jumaat Al-Hidayah UTC-KL Pudu Sentral Sheikh Husin Salleh, 58, berkata, arwah antara jemaah tetap di surau itu sejak setahun lalu yang turut mengadakan solat Jumaat.
Menurutnya, arwah tidak pernah terlepas untuk solat berjemaah, malah akan berada di dalam surau itu sambil bersandar di satu sudut dinding untuk mengaji seawal jam 5.30 pagi lagi sebelum menunaikan solat Subuh.
“Setiap pagi, dia (Zuhdi) akan datang solat Subuh dan berada di sini sehingga jam 7.30 pagi sebelum kembali ke surau ini jam 12 tengah hari sehinggalah jam 9.30 malam setiap hari selepas selesai menunaikan tanggungjawab solat fardu lima waktu.
“Arwah adalah seorang yang sangat rajin membantu dan disenangi semua jemaah yang bersembahyang di surau ini,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Kata Sheikh Husin, ramai jemaah surau tidak menyedari pemergian arwah dan dilihat duduk menyandar ke dinding surau seperti sedang berehat.
“Memang menjadi kebiasaan arwah yang suka untuk berehat di surau ini sementara menunggu masuknya waktu solat. Arwah sangat memelihara solat. Selepas masuknya waktu Asar, beberapa rakan jemaah cuba untuk mengejutkan arwah tetapi dia sudah tidak sedarkan diri.
“Rakan jemaah terus menghubungi polis untuk melaporkan mengenai kejadian ini sebelum menghubungi ahli keluarga arwah,” katanya.
Bendahari surau itu Abdullah Sharif berkata, dia bersama rakan arwah mengejutkan Zuhdi yang didapati masih bersandar di dinding walaupun jemaah lain sudah selesai menunaikan solat Asar.
Menurutnya, ketika itu arwah dalam keadaan duduk bersandar serta tunduk.
“Saya cuba kejutkan, tetapi badannya sudah lembik. Saya segera menghubungi Klinik 1Malaysia di tingkat bawah dan kakitangan klinik kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.
Foto Hiasan
Post a Comment