“Saya bercadang untuk melahirkan anak kedua di Hospital Serdang, tetapi kini terpaksa memikirkan semula keputusan itu.” dakwa Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching.
Beliau mendakwa berasa bimbang tentang keselamatan dirinya jika melahirkan anak di Hospital Serdang berikutan kejadian siling runtuh di hospital itu berulang pada 10 Disember lalu.
Kejadian terbaharu siling runtuh kira-kira pukul 1 petang itu dilaporkan hampir mencederakan beberapa kakitangan hospital tersebut.
Nie Ching berkata, beliau melahirkan bayi perempuan di Hospital Serdang pada tahun lalu dan amat kagum dengan tahap profesionalisme kakitangan hospital tersebut lalu membuat keputusan melahirkan bayi kedua di Hospital Serdang.
“Bagaimanapun saya dinasihatkan oleh rakan-rakan dan memikirkan semula keputusan itu (kerana kejadian siling runtuh).
“Saya mempunyai pilihan ke hospital lain untuk mengelak risiko (kemalangan), tetapi kakitangan Hospital Serdang tidak mempunyai pilihan dan perlu terus bekerja di hospital itu,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Nie Ching menganggap Hospital Serdang yang mula beroperasi pada Disember 2005 merupakan sebuah projek “jerrybuilt” (dibina daripada bahan bermutu rendah) yang memalukan.
Justeru, beliau melahirkan kekesalan kerana Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya tidak mendedahkan kontraktor yang membina hospital itu yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut. – mynewshub.my
Post a Comment