Home » » PWTC Terus Buka Pusat Pengumpulan Bantuan Bencana Banjir

PWTC Terus Buka Pusat Pengumpulan Bantuan Bencana Banjir

Written By Unknown on 21/12/2013 | 9:00 am








KUALA LUMPUR 20 Dis. - Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan terus membuka pusat pengumpulan bantuan bencana banjir di sini bagi penduduk Pantai Timur sehingga 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah berkata, pusat pengumpulan di PWTC yang pada mulanya sudah ditutup hari ini itu dilihat mampu mengumpul lebih banyak keperluan dan barangan bantuan ekoran ia mudah diakses orang ramai.

"Program pengumpulan bantuan bencana yang dianjurkan PWTC bersama-sama Persatuan Darul Ridzuan Selangor-KL (PDR) ini menerima respons yang amat menggalakkan, jadi adalah l3bih baik kita melanjutkan tempoh pengumpulan bantuan bencana ini.

"Bayangkan dalam tempoh seminggu kami lancarkan pusat pengumpulan bantuan bencana ini, kami mampu untuk menghantar bantuan bencana ke Pekan, Kuantan dan kemungkinan ke Terengganu dan Johor.

"Bantuan yang sudah dikumpulkan ini akan dihantar menggunakan sebuah lori 3 tan dan lima buah kenderaan pacuan empat roda dan insyaAllah akan tiba di destinasi Sabtu ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melepaskan Konvoi Bantuan Bencana Untuk Pantai Timur PWTC-PDR di sini hari ini.

Konvoi bantuan yang akan disertai 20 orang itu dijangka akan mula mengagih-agihkan bantuan di Masjid Al Muttaqim, Tanah Putih, Kuantan, Sabtu ini.

Turut hadir, Pengerusi Biro Sukan Laut PDR, Datuk Mohamed Saffian Omar.

Maxson turut berkata, pihaknya tidak menerima wang tunai untuk program ini namun hanya menerima keperluan asas yang diperlukan oleh mereka yang ditimpa bencana banjir di Pantai Timur baru-baru ini.

"Malah kami turut menyediakan sebuah lori yang sarat dengan bantuan dan keperluan asas di PWTC untuk dibeli oleh mereka yang sibuk tetapi ingin menyumbang kepada program ini," katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger