Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah kenaikan kadar purata tarif elektrik berkuatkuasa 1 Januari ini kerana didakwa bakal memberi kesan negatif terhadap orang ramai.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, beberapa NGO lain termasuk Gabungan NGO Islam Melayu Malaysia, Yayasan Muamalat Belia (YMB) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) turut membantah kenaikan tersebut.
“Turut membantah Persatuan Jurutera Melayu Islam (Miea) dan Pertubuhan Wanita Bumiputra Kuala Lumpur dan Selangor (Pernita).
“Kami membantah kerana kenaikan ini ia salah pada masanya semasa para pengguna dan rakyat masih baru dikejutkan dengan berbagai kejutan kenaikan harga dan perkhidmatan,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Nadzim turut mendakwa, kenaikan kadar tarif elektrik itu tidak wajar dilaksanakan kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak mengalami kerugian pada tahun lalu.
Menurutnya, proses menampal ketirisan perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum meletakkan beban ke atas pengguna kerana usaha penjimatan atau menentukan ‘’efficiency’’ aliran elektrik sampai ke destinasi sepenuhnya perlu dilakukan bagi mengelakkan pembaziran.
Tambah beliau, keberkesanan mutu perkhidmatan juga perlu ditingkatkan dahulu agar pengguna tidak menghadapi gangguan elektrik dan berpuas hati perlu dilaksanakan dengan membuat tinjauan kepuasan pengguna.
Nadzim dalam pada itu mempersoalkan mengapa apabila harga arang batu turun 50 peratus baru-baru ini, kadar elektrik tidak turun.
Beliau seterusnya mempertikaikan syarikat `Independent Power Plant’ (IPP) yang dilantik TNB berjaya mendapat keuntungan yang tinggi tetapi syarikat yang
melantiknya tidak mendapat mendapat keuntungan tinggi.
Kata beliau, daripada membenarkan TNB melantik IPP, lebih baik kerajaan mencari kaedah lain yang tidak memberi ruang kepada kelemahan organisasi pelantik di masa yang dilantik berebut ingin dilantik untuk membekal elektrik ke TNB.
Bagi mencari langkah jangka panjang menyelesaikan isu itu, katanya, NGO terbabit mencadangkan Kerajaan mewujudkan syarikat elektrik kedua negara bagi meningkatkan persaingan sihat dan meningkatkan mutu perkhidmatan dengan kos terbaik.
“Kami bersama NGO lain akan terus menolak kadar kenaikan sehingga ianya dilaksanakan di masa dan keadaan yang sesuai. Kenaikan ini juga akan menunjukkan perasaan tidak puas hati kepada Kerajaan yang membenarkan kenaikan ini,” katanya. – mynewshub.my
Post a Comment