Home » » Perhimpunan Agong UMNO: Puteri Bukan Lagi Sekadar Tulang Belakang Parti

Perhimpunan Agong UMNO: Puteri Bukan Lagi Sekadar Tulang Belakang Parti

Written By Unknown on 04/12/2013 | 4:30 pm


Ucapan Ketua Puteri UMNO di Perhimpunan Agung UMNO semalam membawa semangat Kasturbai Makhanji, Maharani Fu Hao, Chuk Nyak Dhien, Chuk Nyak Meutia, Tun Fatimah, Sumaiyah, Hellen Keller sehinggalah ke pejuang-pejuang UMNO seperti Aishah Ghani, Ibu Zain dan Khadijah Sidek.   

Jika semangat ini mampu dihayati oleh kesemua ahli pergerakan ini yang hampir mencecah 400,000, kita pasti tiada apa lagi yang dapat menghalang UMNO untuk terus mara. 

Semoga para pemimpin dan ahli-ahli pergerakan Puteri mampu menghayati tiupan semangat sang Ketua dengan sebenar-benarnya. 

Puteri juga nampaknya semakin matang dan semakin yakin dengan kemampuan pergerakan itu untuk menjadi lebih dari sekadar tunjang untuk memastikan UMNO teguh berdiri.   Dengan memilih untuk berjuang dengan semangat para serikandi yang disebut di atas, membuktikan bahawa Puteri kini sedar yang mereka bukan lagi wanita yang tempatnya di belakang, tetapi di sisi Wanita dan juga Pemuda.  Di sisi kakak dan abang atau ibu dan ayah di dalam UMNO. 

Malah, tenaga muda mereka juga telah secara automatik meletakkan mereka di hadapan dalam perjuangan.  Perlu diingatkan bahawa ‘di hadapan’ bukan bermakna menunggu arahan untuk mengedar risalah atau berkempen rumah ke rumah semata-mata. 

Tokoh-tokoh yang disebut oleh sang Ketua, bukanlah orang suruhan tetapi masing-masing adalah Serikandi dengan cara tersendiri.   Mereka adalah pemimpin yang mampu mencetuskan idea-idea bernas, mengatur strategi dan mematahkan serangan musuh.  Mereka adalah pemimpin yang mampu bertahan dan mengharungi segala cabaran. 

Serikandi bukan perhiasan untuk mencantikkan atau memeriahkan majlis tetapi merupakan pengatur-urus majlis itu sendiri. 

Penulis menyarankan agar ahli pergerakan Puteri menghayati keperibadian Saiyidatina Khadijah, isteri Rasulullah S.A.W iaitu tokoh wanita Islam yang paling hebat. 

Sejak dari usia muda, Saiyidatina Khadijah telah diberi kepercayaan oleh bapanya untuk menguruskan perniagaan keluarga. Di dalam dunia Arab yang dikuasai lelaki, Saiyidatina Khadijah mengatur strategi perniagaan dan mengembangkannya sehingga berjaya. 

Baginda dipandang tinggi, disegani kerana kebijaksanaan, kecekapan dan juga keperibadian yang mulia.  Saiyidatina Khadijah mempunyai pemikiran sendiri dan tidak segan silu menyatakan pendapat di khalayak. 

Setelah berkahwin dengan Rasulullah S.A.W, perniagaan keluarga Saiyidatina Khadijah diuruskan secara bersama.  Malah, Rasulullah S.A.W sering meminta pandangan dan nasihat isteri Baginda itu kerana mengiktiraf kebijaksanaan serta pengalamannya dalam perniagaan.  Jelas hubungan Baginda berdua adalah berasaskan cinta dan saling menghormati.    

Seperti yang kita tahu, Saiyidatina Khadijah telah dicatatkan sebagai antara wanita yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah S.W.T.

Ini membuktikan bahawa Islam menuntut wanita Muslim agar berilmu dan berani. 

Biarpun suami atau lelaki menjadi ketua keluarga dan masyarakat, tetapi isteri atau wanita bukanlah hamba atau manusia kelas dua.  Lelaki atau para suami wajib menghormati isteri atau wanita itu sebagai manusia yang dicipta Allah S.W.T dengan akal fikiran yang setanding dengan dirinya. 

Justeru, pemimpin dan ahli-ahli Puteri UMNO wajar mengambil pengajaran dari kisah Rasulullah S.A.W dan isteri Baginda ini sebagai pemangkin kepada perjuangan yang dilaungkan. 


Kesimpulannya, Puteri perlu meletakkan diri di tempat yang disegani dan dihormati bukan dengan cara paksa dengan membongkakkan diri, tetapi dengan ilmu dan kemuliaan peribadi.  Hanya dengan cara itu maka Puteri mampu menjadi Serikandi setanding dengan tokoh-tokoh wanita yang disebut oleh sang Ketua tadi. 
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger