1. Kementerian Kewangan
ingin merujuk kepada laporan berkaitan jumlah pembayaran kepada
syarikat-syarikat perundingan swasta sebanyak RM7.2 bilion dari tahun 2009 hingga
Oktober 2013.
2. Kementerian Kewangan
ingin menjelaskan bahawa daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.15 bilion
adalah merupakan perbelanjaan di bawah Maksud Pembangunan bagi tahun 2009
hingga Oktober 2013. Perbelanjaan ini antara lainnya, bagi perkhidmatan
perakaunan dan auditan, perkhidmatan perundangan, penilaian dan pengurusan
harta, pengurusan, perkhidmatan pakar runding perniagaan, perkhidmatan komputer
dan prosesan data, perkhidmatan jurutera, arkitek , juruukur dan kajibumi serta
perkhidmatan penyelidikan pasaran dan ujian pasaran. Perkhidmatan-perkhidmatan
yang diberi ini adalah bagi melaksanakan projek-projek Kerajaan seperti
pembinaan rumah, jalan, jambatan, kolej, membaik pulih jalan, pembinaan sekolah
dan hospital.
3. Malahan, mengambil
kira perbelanjaan sebenar pembangunan bagi tempoh 2009-2012, Kerajaan
Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM195.655 bilion bagi melaksanakan
projek-projek pembangunan dan infrastruktur yang telah dikenalpasti di seluruh
Negara. Manakala untuk 10 bulan pertama tahun 2013, perbelanjaan sebenar
pembangunan adalah sebanyak RM30.077 bilion.
4. Sementara itu,
sebanyak RM1.05 bilion daripada RM7.2 bilion tersebut adalah belanja
perkhidmatan dibawah Maksud Mengurus bagi tahun 2009 hingga Oktober 2013, antaranya
bagi perkhidmatan saintifik dan penyelidikan, perkhidmatan kajian ekonomi serta
perkhidmatan professional lain seperti bayaran yuran audit, yuran guaman dan
latihan perniagaan kepada usahawan.
5. Kesemua perbelanjaan
tersebut adalah untuk menjayakan pelaksanaan projek Kerajaan demi kesejahteraan
rakyat dan kemajuan Negara.
KEMENTERIAN KEWANGAN
MALAYSIA
4 DISEMBER 2013
Post a Comment