Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyertai orang-orang kenamaan dunia memberi penghormatan terakhir kepada bekas presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, berada di Pretoria sebagai wakil peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata Dr Mahathir juga mengetuai delegasinya untuk menyampaikan ucapan takziah mereka dan juga mesej peribadi Najib kepada keluarga mendiang ikon anti-Aparteid itu.
Mandela, 95, meninggal dunia di kediamannya di Johannesburg pada 5 Dis selepas beberapa menderitai jangkitan paru-paru.
“Mendiang Nelson Mandela dan Dr Mahathir mempunyai hubungan yang amat rapat, yang terjalin semasa zaman-zaman mencabar apabila Afrika Selatan di bawah rejim aparteid,” kata kenyataan itu.
Ia menjelaskan bahawa Malaysia memainkan peranan yang menyokong persiapan Afrika Selatan untuk pilihan raya demokratiknya pada 1994 yang menyaksikan Mandela dipilih sebagai presiden kulit hitam yang pertama.
Dr Mahathir diiringi dalam perjalanan ke Afrika Selatan oleh isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Pesuruhjaya tinggi Malaysia Kennedy Jawan, tokoh ahli perniagaan Tan Sri Lim Kok Wing dan juga para pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar. – BERNAMA
Post a Comment