Di dalam kemeriahan sambutan Perhimpunan Agung Umno, masyarakat di kejutkan dengan pengumuman Menteri Besar Selangor, Khalid Samad yang dikatakan bakal mencabar penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali di dalam pemilihan parti itu pada Mei tahun depan.
Di dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Khalid tidak menafikan desas-desus perkara itu dan menyatakan pihaknya akan membuat pengumuman sama ada akan merebut jawatan tersebut apabila ia perlu dilakukan.
"Buat masa ini perkara itu tidak pernah dibincangkan lagi dan sebarang pencalonan jawatan pada pemilihan itu adalah urusan dalaman parti dan tidak perlu dibincangkan secara terbuka. Kita akan buat pengumuman apabila perkara itu (pencalonan beliau sebagai Timbalan Presiden PKR) perlu diumumkan," katanya semalam.
Umum memang mengetahui kemelut antara Khalid – Azmin yang selama ini penuh dengan drama ‘tikam menikam’. Malah Azmin juga pernah dikatakan ‘merajuk’ seketika dengan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang ‘mungkir janji’ untuk memberikan jawatan MB Selangor kepadanya kerana akur dengan desakan Wan Azizah.
Walaupun Anwar pada mulanya ingin mengotakan janjinya, namun ‘amukan’ Azizah dikatakan telah menyebabkan Anwar terpaksa akur untuk mengecewakan Azmin. Namun episod tersebut tidak berakhir setakat itu sahaja, sejurus selepas perlantikan tersebut Azmin sering kali dilihat ‘menyerang’ kepimpinan Khalid dengan pelbagai isu.
Seperti ada sahaja yang tidak kena, Khalid sering dipersalahkan, dikritik dan dikecam kerana disifatkan lemah dan gagal menguruskan kerajaan negeri dengan baik.
Malah isu Khalid tertidur dan mengigau ketika program sidang akhbar yang diadakan juga telah digunakan untuk menyerangnya. Pelbagai isu digunakan untuk mewujudkan tanggapan kononnya Menteri Besar itu semakin lemah dan perlu ditukarkan, sehingga memaksa Setiausaha Politiknya, Faekah Husein menjawab bagi pihaknya.
Sebelum ini juga, media turut melaporkan Anwar telah mengkritik Abdul Khalid dan memuji Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Anwar mendakwa setakat ini Pulau Pinang di bawah Guan Eng menunjukkan prestasi yang membanggakan berbanding Menteri Besar Selangor, ekoran kelemahan yang dilihat masih belum berjaya diatasi oleh pentadbiran Khalid.
Kesimpulannya, ramai yang melihat drama ‘tikam menikam’ ini tidak akan selesai melainkan Azmin berjaya memperolehi apa yang diingininya. Mungkin atas alasan itu Khalid merasakan sudah sampainya untuk mencabar Azmin secara terbuka. Selain dapat mengukur kekuatannya, ia adalah merupakan platform yang terbaik untuk menamatkan karier politik Azmin.
Post a Comment