Nampaknya ‘badi malang’ yang melanda Naib Presiden Pas, Husam Musa seperti tiada penghujugnya. Lepas satu-satu musibah melanda dirinya walaupun sebelum ini ramai mengatakan kemenangannya dalam pemilihan muktamar lalu seperti menandakan sudah ada sinar baru dalam karier politiknya. Namun ramai yang mengatakan kemenangan Husam hanyalah ‘nasib baik’ kerana undi kumpulan liberal berpecah dua antara Mahfuz Omar dan dirinya.
Pemilihan di Muktamar Pas ke-59 yang lalu menyaksikan Husam hanya mampu menang tipis apabila memperolehi 520 undi berbanding Mahfuz yang memperolehi 504 undi dengan 16 majoriti. Dalam erti kata lain, kemenangan Husam itu membuktikan dia tidak mendapat sokongan penuh para perwakilan Pas yang lebih cenderung memilih penyandang jawatan Salahuddin Ayub dengan 917 undi dan Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili kumpulan ulama dengan 849 undi.
Mungkin atas faktor itu kepimpinan Pas negeri Kelantan membuat keputusan untuk menurunkan pangkatnya dengan melantik dia sebagaiTimbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan III. Sedangkan sebelum ini, ketika Nik Abdul Aziz Mat masih memegang jawatan sebagai Menteri Besar, Husam adalah merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan II.
Mungkin ada yang mengatakan ia adalah merupakan perkara biasa dan‘asam garam’ dalam dunia politik, namun para pemerhati politik merasakan sebaliknya. Ramai yang berpendapat, penurunan pangkat Husam ini adalah merupakan ‘rentetan episod balas dendam’ terhadap Husam yang dilihat semakin biadap terhadap kumpulan ulama Pas.
Malah menurut sumber, sejurus selepas berjaya mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden, sudah ada gerakan kempen untuk memastikan jawatan Pesuruhjaya Pas Negeri Kelantan diberikan kepada Husam. Namun bak kata pepatah, lain yang dirancang, lain yang jadinya apabila jawatan tersebut akhirnya diberikan kepada Ahmad Yakob atas kapasitinya sebagai Menteri Besar.
Tidak cukup dengan itu, ada yang mengatakan kekalahan calon Timbalan Presiden, Nik Amar Nik Abdullah yang juga merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan kepada penyandang jawatan Mat Sabu adalah berpunca dari Husam.
Episod balas dendam terhadap Husam ini dikatakan bermula apabila kepimpinan kerajaan negeri Pas Kelantan, memutuskan untuk tidak melantiknya semula bagi mengisi jawatan Exco kerajaan negeri walaupun dia berjaya memenanggi kerusi DUN Salor dalam pilihanraya umum yang lalu.
Sedangkan sebelum ini, dia adalah merupakan Exco kanan kerajaan negeri dengan memegang portfolio Pengerusi, Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan.
Paling menarik apabila, ketika sesi penggulungan sidang DUN Kelantan baru-baru ini, Husam dikatakan telah bertegang urat dan membidas beberapa anggota Exco yang dikatakan gagal mengurus tadbir dengan baik, berlaku kepincangan dan wujud penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan Pas Kelantan. Mungkin kerana tidak tahan dengan semua tuduhan yang dilemparkan itu, beberapa anggota Exco dikatakan bangun untuk menafikan semua tuduhan tersebut.
Kesimpulannya, air mata Husam Musa menandakan badi malangnya tidak pernah hilang. Dan bakal kekal untuk merosakkan dirinya.
Post a Comment