Perkara itu disuarakan oleh Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasim yang mengetuai seramai 200 ahli Umno bahagian itu membuat laporan di Balai Polis Rantau Panjang, di sini, semalam, berhubung cubaan pihak tertentu menganjurkan 'Himpunan Guling Kerajaan' di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini.
Turut sama membuat laporan polis adalah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) seluruh Parlimen Rantau Panjang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Abdullah berkata, kerajaan tidak perlu menjaga hati pihak minoriti sebaliknya menumpukan perhatian kepada rakyat majoriti yang mahukan negara aman tanpa sebarang keadaan huru-hara.
Menurutnya, golongan beliau sepatutnya sedar bahawa mereka telah dipergunakan pihak pembangkang yang hanya berehat di rumah sedang penduduk sanggup turun berhimpun di jalanan.
"Tindakan mengguling kerajaan sepatutnya dilakukan melalui proses demokrasi, iaitu melalui pilihan raya dan bukannya melalui provokasi di jalanan.
"Kerajaan yang memerintah ketika ini dipilih secara majoriti oleh rakyat. Namun mengapa mereka hasut rakyat, cipta keadaan huru-hara dan berniat mahu memerintah negara? Kononnya bertindak sebagai pengaman," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat jangan menjadikan negara luar seperti Thailand sebagai ikutan sebaliknya kekalkan kesopanan sebagai panduan menuju kesejahteraan," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis, semalam.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Penggerak Generasi Muda Malaysia Kelantan, Ik Ku Man berkata, pihaknya menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar mengambil tindakan dengan memenjarakan pihak terbabit kerana sengaja menimbulkan huru-hara di dalam negara ini.
"Hukum, denda dan penjarakan sesiapa sahaja yang cuba menimbulkan kekacauan di Malaysia. Mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Maka tindakan awal membendung perkara ini perlu dilakukan segera agar pihak terbabit tidak berupaya menghasut lebih ramai penduduk," katanya.
Post a Comment