Jika semalam kelakuan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang melakukan ‘selfie’ bersama Perdana Menteri Britain dan PM Denmark ketika menghadiri upacara memperingati mendiang Nelson Mandela dikritik, hari ini keluar pula satu lagi cerita menarik ketika upacara tersebut berlangsung.
Persatuan Orang-orang Pekak Afrika Selatan, DeafSA memaklumkan, orang kelainan upaya yang menyaksikan ucapan pada hari berkenaan tidak faham dengan bahasa isyarat yang dipertontonkan kepada mereka.
Dalam erti kata lain, lelaki yang tampil memakai pas keselamatan rasmi dan berkongsi pentas dengan Presiden mereka, Jacob Zuma serta Obama mempersembahkan bahasa isyarat yang menipu dan tidak mahir langsung.
“Dia menggerakkan tangannya tanpa sebarang makna,” ujar pengarah nasional DeafSA yang kesal dengan kejadian dalam upacara besar seperti itu.
Lelaki yang tidak dikenali itu kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa sana bagaimana tugas tersebut diberikan kepadanya.
Dalam majlis mengingati mendiang Nelson Mandela kelmarin, lebih 50 pemimpin dunia dan Komanwel hadir bagi memberi penghormatan terakhir.
Malaysia diwakili oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus J. Ongkili. – mynewshub
Post a Comment