TIDAK puas dengan menyerang seorang suri rumah dan merompaknya, seorang lelaki bertindak menceroboh sebuah lagi rumah 12 jam selepas itu di Washington, Amerika Syarikat.
Kali ini, dia membawa niat merogol isteri kepada pemilik kediaman berkenaan dan merakamkan perbuatannya itu.
Dengan berbekalkan kamera dan tripod, Ken Boonstra, 48, memecah masuk ke rumah berkenaan sebelum kehadirannya disedari oleh suami wanita berkenaan kira-kira jam 1.40 pagi selepas mendengar bunyi salakan anjingnya.
Berlaku pergelutan antara mereka sebelum isterinya cuba membantu si suami dengan memukul penceroboh itu dengan kayu besbol.
Malangnya, kayu tersebut patah dan memaksa wanita yang juga ibu kepada seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan itu mengambil sebilah pisau dan menikam Boonstra sebanyak beberapa kali bagi menghentikan serangan itu.
Tindakan itu akhirnya menyebabkan penceroboh itu maut di tempat kejadian.
Bagaimanapun, identiti pasangan suami-isteri yang juga pemilik sebuah gimnasium itu tidak didedahkan demi keselamatan mereka dan tidak akan didakwa kerana cuba mempertahankan diri.
Soal siasat polis terhadap ibu Boonstra mendapati bahawa dia mengalami tekanan selepas bercerai beberapa tahun lalu.
Mereka turut menemui koleksi video lelaki itu di laman YouTube yang berkisarkan kepada keagamaan dan anti wanita.
mynewshub
Post a Comment