Oleh ZR;
Seperti ada yang tidak kena, apabila portal dan blog pembangkang begitu kecoh mempromosikan satu himpunan yang akan diadakan menjelang tahun baru ini. Tidak ketinggalan para pencacai mereka turut menyebarkan poster, risalah dan semua yang berkaitan dengan himpunan yang bakal diadakan itu.
Yang menghairankan ialah, mengapakah malam menjelang tahun baru dipilih sebagai tarikh untuk mengadakan himpunan tersebut? Pelik bukan!
Namun apabila diteliti ia mungkin ada kaitan dengan beberapa program himpunan yang tidak mendapat sambutan sebelum ini. Sekiranya kita imbau kembali, sejurus selepas pakatan pembangkang GAGAL merampas tampuk pemerintahan negara melalui proses pilihan raya umum ke-13 lalu, beberapa siri himpunan dan demonstrasi jalanan telah diadakan.
Malangnya boleh dikatakan hampir kesemuanya GAGAL mendapatkan sambutan seperti yang diharapkan. Sebagai contoh, demonstrasi jalanan #Black505 yang diadakan kononnya untuk membantah keputusan pilihan raya itu hanya mampu mengumpulkan sekitar 10 ribu sahaja berbanding beberapa siri demonstrasi yang diadakan sebelum ini.
Paling menarik, portal-portal yang menjadi lidah rasmi pembangkang juga GAGAL memberikan angka sebenar jumlah orang ramai yang hadir pada himpunan tersebut. Malaysiakini sebagai contoh mengatakan kehadiran adalah sekitar 20 ribu orang, manakala Harakahdaily melaporkan seramai 55 ribu dan diikuti dengan Keadilandaily yang menganggarkan kehadiran sekitar 30 ribu orang.
Ketidakseragaman dalam menetapkan angka sebenar atau setidak-tidaknya yang paling hampir itu membuktikan bahawa mereka sendiri seakan tidak percaya dengan jumlah kehadiran pada program tersebut.
Tidak lama selepas, mereka turut menganjurkan himpunan yang kononnya mewakili suara anak muda, untuk berhimpun di hadapan bangunan Parlimen bagi membantah upacara angkat sumpah yang akan dijalankan.
Namun rata-rata di kalangan seakan terpedaya dengan sandiwara pembangkang, apabila dimaklumkan bahawa Anwar turut mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat, walaupun sebelum ini Ketua Pembangkang itu adalah merupakan dalang utama yang menghasut rakyat agar menolak sistem demokrasi yang diadakan.
Pada satu ketika, dia meminta agar sistem demokrasi itu ditolak, namun dalam masa yang sama dia tetap mengangkat sumpah. Paling menarik, sejurus selepas upacara itu, kumpulan anak muda yang berkumpul di hadapan parlimen itu dikejutkan dengan penyebaran gambar yang memaparkan Anwar sedang tertawa riang ketika menghadiri majlis minum pagi bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.
Mungkin disebabkan rasa tertipu dengan sandiwara Anwar, mereka yang berhimpun akhirnya mula bersurai seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa.
Terbaru, pakatan pembangkang mengadakan satu lagi himpunan kononnya bagi membantah kenaikan cukai taksiran yang diadakan di padang dataran Dewan Bandar raya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut. Malangnya, program yang diadakan itu sekali lagi GAGAL mendapat sambutan.
Pihak media melaporkan hanya sekitar 400 orang sahaja yang hadir bagi menyokong isu yang dibawakan itu. Walaupun sebelum ini, pihak penganjur begitu bersungguh-sungguh mempromosikan program tersebut dengan tujuan menarik minat dan sokongan rakyat khususnya penduduk dan warga ibu kota.
Berbalik kepada isu yang dibangkitkan, mengapakah malam tahun baru menjadi pilihan untuk mengadakan demonstrasi? Jawapannya mudah, pakatan pembangkang nampaknya telah mula belajar dari kesilapan.
Mereka memilih malam tahun baru kerana, pada ketika itu ramai di kalangan warga kota khususnya anak-anak muda akan hadir bagi meraikan sambutan ambang tahun baru. Secara kebiasaannya mereka akan hadir beramai-ramai bagi menyaksikan program-program yang telah diaturkan seperti persembahan muzik, beramai-ramai mengira detik berakhirnya tahun 2013 dan disusuli dengan acara kemuncak persembahan bunga api.
Dalam erti kata lain, sekiranya demonstrasi yang bakal diadakan itu GAGAL mendapat sambutan, namun kehadiran ribuan masyarakat yang ingin meraikan sambutan tahun baru dapat digunakan bagi menipu jumlah angka kehadiran.
Ini kerana, mereka sedar semakin hari rakyat sudah mula muak dan bosan dengan pelbagai isu retorik dan sandiwara yang sering dimainkan sebelum ini. Malah mereka juga sudah mula menyedari perjuangan yang sering dilaungkan oleh Anwar bukanlah untuk membela nasib rakyat, namun hanya untuk memastikan impiannya bergelar Perdana Menteri tercapai.
Post a Comment