
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa DAP adalah parti pembangkang yang paling besar di negara ini.
Ia kerana DAP mempunyai seramai 38 ahli Parlimen dan 103 ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding parti lain termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS pada waktu ini.
“DAP telah ditubuhkan sejak 1966 dan kini merupakan parti pembangkang yang paling besar di Malaysia. Kami bekerja sama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS untuk melawan Barisan Nasional (BN).
“Kami telah mendapat keyakinan daripada semua rakyat kawasan bandar – Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Ipoh, Melaka, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapannya bersempena Perasmian Projek Pertama Impian Sabah di Kampung Samparita Laut, Kota Marudu semalam yang disiarkan oleh DAP Pusat di sini hari ini.
Kit Siang dalam teks ucapan itu turut mendakwa penduduk bandar yakin dengan DAP kerana parti itu telah membuktikan kerajaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor tidak rasuah, cekap dan amanah.
Justeru, beliau berharap rakyat Sabah akan menyokong projek Impian Sabah oleh DAP yang bertujuan menjatuhkan kerajaan BN di negeri itu. – mynewshub.my
Post a Comment