Home » » Danok Bom ; CCTV 2 Suspek Terbongkar

Danok Bom ; CCTV 2 Suspek Terbongkar

Written By Unknown on 24/12/2013 | 2:30 pm

Sebahagian rakaman CCTV yang menunjukkan sebuah trak pikap yang ditinggalkan di bahu jalan berhampiran Hotel Oliver, Danok sebelum dan ketika letupan.

BANGKOK - Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi letupan bom berhampiran Hotel Oliver di Danok semalam, menunjukkan dua lelaki dipercayai suspek pengganas bergegas meninggalkan lokasi kejadian sebaik-baik mereka meletakkan sebuah trak pikap berwarna perak di bahu jalan.

Rakaman selama selama 2 minit 41 saat yang disebarkan di Internet itu menunjukkan dua suspek bertopi yang masing-masing memakai baju T lengan pendek dan panjang, kemudiannya tergesa-gesa meninggalkan kenderaan tersebut sambil berbual.

Kenderaan pikap dengan nombor pendaftaran Bor Mor 5164 itu kemudiannya meletup dengan sisa serpihan berterbangan ke arah peniaga dan pembeli di sebuah kedai bertentangan hotel tersebut.

Anggota keselamatan kemudiannya dilihat membantu mangsa dan membawa mereka ke hospital sementara kakitangan hospital bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa.

Banyak kenderaan yang diletak berhampiran trak pikap itu rosak teruk dan ada di antaranya terbakar.

Sementara itu, pihak berkuasa Thailand hari ini mendakwa letupan bom di tiga kawasan pelancongan di daerah Sadao di Songkhla, semalam mempunyai kaitan dengan kumpulan yang membunuh sebanyak lima orang penduduk di Pattani, awal bulan ini.

Dalam serangan semalam, satu daripada letupan bom itu mencederakan sebanyak 27 orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan.

Menurut polis, trak pikap berwarna perak yang digunakan untuk menyembunyikan bom kereta itu sebelum meletup berhampiran Hotel Oliver, dimiliki satu daripada mangsa yang dibunuh dalam serangan di daerah Nong Chik, pada 3 Disember lalu.

Trak itu kemudiannya dicuri.

Menurut sumber polis dari balai polis Sadao, kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran Bor Mor 5164.

Polis kini sedang meneliti penglibatan tiga pemimpin utama kumpulan pemisah yang aktif di empat daerah di Songkhla iaitu, Abdultorlae Kasor, Seree Waemamu dan Ruslan Baima.

Abdultorlae merupakan seorang suspek pengeboman sebuah kedai minum di daerah Na Thawi pada Jun lalu dan dikehendaki dalam 13 kes lain.

Seree dan Ruslan dalam pada itu dikehendaki polis kerana kaitan mereka dalam serangan bom kereta di Hotel Lee Gardens Plaza di Hat Yai, Mac tahun lalu.

Menurut polis, alat letupan jangka (IED) yang digunakan dalam serangan semalam kesemuanya berkaitan dengan jam loceng.

- AGENSI

                           
                           

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger