BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Gambar) mendakwa Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar lewat tiba di kawasan tragedi kebakaran rumah Flat Kg Kerinchi meninjau keadaan mangsa.
Menurut beliau kepada mynewshub.my, Nurul Izzah tiba lewat sedangkan beliau dan beberapa orang daripada Umno Lembah Pantai tiba seawal pukul 5.30 petang dan melakukan urusan antaranya memanggil bomba.
“Dia datang lambat..dia baru datang, Kita UMNO 5.30 dah ada sini, dari mula kebakaran.. panggil bomba, hubungi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKP) dan membantu mereka semua turun daripada rumah pangsa ialah UMNO,” katanya.
Raja Nong Chik berkata pihaknya akan berhubung dengan Yayasan Wilayah Persekutuan untuk tujuan mendapatkan sumbangan bagi mangsa-mangsa yang terlibat dalam kebakaran rumah pangsa 17 tingkat di Kg Kerinchi itu.
“Kita akan uruskan dengan Yayasan Wilayah Persekutuan untuk dapat sumbangan, DBKL juga akan menyediakan perumahan untuk mangsa yang merupakan warga tempatan sahaja dan kita akan usahakan sumbangan dari agens-agensi lain,”
Mangsa-mangsa yang kehilangan tempat tinggal pula akan ditempatkan di sebuah dewan milik UMNO berdekatan dengan kawasan rumah pangsa itu.
Beliau kemudiannya berharap mangsa kebakaran bersabar dan pihaknya akan membantu seberapa boleh terutamanya dalam mendapatkan saluran sumbangan kewangan bagi meringankan beban mangsa.
“Bersabarlah, kerajaan BN akan bantu seberapa banyak yang boleh melalui UMNO dan berusaha untuk mendapat saluran-saluran untuk bantuan.
“Saya telah berjumpa dengan Pengerusi Badan Pengurusan Bersama rumah pangsa ini dan beliau kata ada perlindungan insurans, kita berharap pihak insurans dapat segeralah menilai.. sebab ini bukan bawah DBKL, ia di bawah pengurusan individu,” katanya.
Sementara itu, Nurul Izzah ketika ditemui berkata ekoran keadaan yang agak kelam-kabut hari ini, pihaknya akan berusaha untuk sumbangan kepada mangsa dalam sehari dua lagi.
“Kita selalunya dengan serta-merta bagi, tapi saya rasa sekarang ini dengan keadaan dengan pihak bomba ada, paramedik ada, mungkin sehari dua selepas dilihat apakah kerosakan yang dialami dan kerugian.. InsyaAllah dalam masa terdekat,” katanya. – mynewshub.my
Post a Comment