Home » » Foto ; Pakatan Rakyat Hilang 1 Kerusi Hari Ini !!

Foto ; Pakatan Rakyat Hilang 1 Kerusi Hari Ini !!

Written By Unknown on 05/11/2013 | 1:00 pm



KOTA BELUD 4 Nov. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menerima tamparan hebat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Jeremmy Malajad mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Anak kelahiran Kampung Tengkurus itu berkata, keputusan itu dibuat demi memastikan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mampu memenuhi segala keperluan rakyat.

Katanya, kemenangan BN dengan majoriti melebihi dua pertiga di peringkat DUN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu membuktikan rakyat Sabah mahu parti itu memimpin negeri bagi memastikan pembangunan lebih baik dapat dicapai pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau yang bertekad mahu menjadi seorang pemimpin memenuhi segala keperluan rakyat, melihat BN adalah sebuah parti yang mampu melaksanakan permintaan rakyat dengan baik.

"Sebagai wakil rakyat yang baru dipilih, saya sedar tentang harapan tinggi rakyat di kawasan yang saya wakili untuk melihat perubahan dan memiliki kemudahan asas yang lebih baik seperti jalan raya, bekalan air bersih dan klinik desa.

"Semua itu hanya mampu dilaksanakan dengan baik oleh BN dan satu keputusan drastik perlu dilakukan oleh saya bagi memastikan orang ramai di DUN ini mendapat manfaat daripada kepimpinan BN di negeri ini," katanya dalam sidang akhbar mengumumkan keluar PKR dan melepaskan semua jawatan dalam parti tersebut di sini hari ini.

Seramai 50 bekas pemimpin utama PKR bagi DUN Kadamaian turut mengiringi Jeremmy dalam majlis pengumuman itu.

Mengulas lanjut, Jeremmy berkata, kerajaan BN dilihat berjaya menangani kebanyakan isu dalam negeri yang telah dibangkitkan dalam PRU lalu seperti isu keselamatan dan kemiskinan.

Tambahnya, proses transformasi yang dilakukan oleh kerajaan pada masa ini dilihat sangat berkesan dalam memberi manfaat besar kepada rakyat, malah berjaya merealisasikan slogan rakyat didahulukan.

Sehubungan itu, Jeremmy tidak mahu pengundinya menderita kerana tidak merasai nikmat daripada kerajaan BN semata-mata kerana beliau berada di bawah parti yang tidak boleh melaksanakan harapan rakyat.

"Saya ingin melihat proses transformasi itu turut berlangsung di DUN Kadamaian, sekali gus membawa kepada usaha penjanaan ekonomi, pembangunan prasarana dan keselesaan kepada orang ramai di sini," katanya.

Selain itu, menurutnya, kerajaan BN telah memberi pengiktirafan besar kepada pemimpin dari negeri ini apabila melantik enam orang sebagai menteri penuh dalam Kabinet Persekutuan.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger