Muktamar PAS yang membawa kemenangan kepada kumpulan Erdogan iaitu
pihak pro-Anwar Ibrahim dan DAP, menjadikan akar umbi PAS kecewa dan putus
asa. Ini kerana,
Anwar dan DAP merupakan dua pihak yang bertindih dalam membawa agenda
liberalisasi dan juga Kristianisasi di Malaysia. Penglibatan ‘orang-orang kuat’ Anwar
dan DAP di dalam COMANGO membuktikan agenda sebenar kumpulan ini.
Justeru, kemenangan kumpulan Erdogan di dalam PAS bermakna agenda
itu kini lebih mudah untuk diperpanjangkan melalui PAS.
Perasaan kecewa dan putus asa turut melanda ahli UMNO selepas
Pemilihan UMNO yang baru lalu. Ia
berikutan kemenangan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dilihat
sebagai kemenangan pihak Anwar dan DAP. Bukan rahsia lagi bahawa Khairy
membawa agenda liberal serta ingin memisahkan perjuangan UMNO dari bangsa
Melayu. Tindakan beliau melantik Regina Lee yang tegar menyokong DAP
sebagai setiausahanya, mengesahkan hala tuju perjuangannya.
Persoalannya, apakah kemenangan mereka ini bermakna bahawa
orang-orang Melayu telah mula menerima liberalisme? Jawapannya
mungkin ‘ya’ jika kita mampu merasa yakin dengan proses pengundian yang membawa
kepada kemenangan mereka.
Memandangkan Ketua Pemuda mempunyai rekod politik wang, maka
adalah sukar untuk rakyat mempercayai bahawa pemilihan UMNO bagi jawatannya
berjalan secara telus. Walaupun
terdapat penambahbaikan dalam sistem pemilihan, namun hakikat bahawa undi
popular tidak didedahkan dan bahawa wang adalah permainan biasa baginya, maka
kemenangannya tetap diterima secara sinis sahaja.
Begitu juga dengan kemenangan kumpulan Erdogan di dalam PAS yang
menyaksikan ‘ulangan’ dari pemilihan UMNO ketika Khairy mula-mula memenangi
jawatannya dahulu di mana mengambil masa yang begitu lama untuk mengira undi
selain kehadiran mereka-mereka yang tidak sepatutnya di tempat menyimpan peti
undi.
Berdasarkan apa yang berlaku ini, kita tidak boleh menyalahkan
persepsi rakyat. Kita tidak
boleh menghalang manusia dari berprasangka buruk berdasarkan apa yang dilihat
di hadapan mata.
Jika persepsi rakyat itu benar, maka ia menunjukkan bahawa pihak
yang memperjuangkan liberalisasi ini, tidak kira sama ada di dalam PAS atau
UMNO, semuanya gemar bermain kotor. Mereka
terpaksa bermain kotor kerana mereka tahu yang mereka tidak mendapat sokongan
di kalangan orang-orang Melayu.
Walaupun golongan liberal ini gemar memperlekeh orang Melayu
sebagai mudah dibeli dan ditipu, tetapi mereka lupa bahawa mereka lebih lekeh
lagi kerana terpaksa membeli dan menipu semata-mata untuk berkuasa. Ini bermakna, sekiranya mereka menang,
maka kemenangan mereka adalah tidak tulin.
Andainya persepsi ini tidak benar, dan mereka sebenarnya menang
secara telus dan bersih, maka kita akan melihat agenda liberalisasi
dilaksanakan tanpa apa-apa bantahan besar dari orang-orang Melayu.
Bagaimanapun, penolakan orang-orang Melayu terhadap PAS
akhir-akhir ini membuktikan bahawa agenda itu tidak diterima di dalam parti
itu. Kritikan terhadap UMNO
yang semakin lantang didengari juga menguatkan lagi hujah bahawa liberalisme
tidak pernah diterima oleh orang-orang Melayu.
Masalah liberalisasi bukan sahaja mengancam masyarakat kerana ia
membawa bersamanya kebebasan tanpa sempadan tetapi juga membawa ancaman
ketegangan kaum kerana ia didokong oleh parti perkauman tegar iaitu DAP, yang
berselindung di sebalik seruan Kristianisasi.
Keadaan menjadi lebih terancam kerana kumpulan Melayu liberal di
dalam UMNO dan PAS ini mentafsirkan sebarang usaha untuk membela adat, budaya,
bahasa dan agama orang-orang Melayu sebagai kolot. Di masa yang sama, tindakan membela
adat, budaya, bahasa dan agama kaum lain pula ditafsirkan sebagai ‘keterbukaan’
yang wajib diterima oleh semua.
Justeru, dengan tekanan dari sikap rasis dan chauvinis Kristian
DAP dan kebodohan kumpulan Melayu liberal, yang bakal menjadi mangsa akhirnya
ialah orang-orang Melayu di negara ini. Amatlah
malang sekali jika ini berlaku, sedangkan orang-orang Melayu yang menolak
liberalisme merupakan kumpulan majoriti.
Kesimpulannya, Melayu PAS dan Melayu UMNO yang menolak liberalisme
tidak mampu duduk berasingan di dalam PAS, UMNO dan atas pagar. Melayu yang sedar, yang jujur
sayangkan agama dan bangsa tidak ada pilihan selain bersatu di atas satu platform
bagi membentuk kumpulan pendesak yang kuat ke atas pemerintah. Perdengarkan suara kita menolak
liberalisme dalam satu nada yang sekata.
foto hiasan
Post a Comment