Keputusan kerajaan Kelantan untuk memberi cuti selama sebulan dengan gaji penuh kepada kakitangan awam wanita yang kematian suami mendapat berbagai reaksi di kalangan rakyat. Sebelum ini, cuti bagi kes kematian suami hanyalah tiga hari.
Selain gaji penuh, turut dibayar ialah insentif khas bagi membantu mereka menguruskan perkara berkaitan kewangan setelah hilang tempat bergantung. Jumlah cuti yang lama turut bertujuan memberikan mereka ruang untuk menyesuaikan diri dari segi emosi dalam menghadapi kehilangan dan perubahan yang perlu dilakukan dalam hidup.
Menurut kerajaan Kelantan, keputusan ini adalah menepati kehendak syariah.
Beberapa pihak melihat keputusan kerajaan Kelantan ini bersifat tidak realistik dari sudut produktiviti organisasi. Walaupun memahami kesukaran yang perlu dihadapi oleh wanita yang kematian suami tetapi jumlah cuti bergaji sehingga 30 hari adalah terlalu lama.
Jika hujah Mumtaz Md. Nawi iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Kelantan diambilkira iaitu, kes kematian suami amat jarang berlaku dan secara amnya hanya akan berlaku sekali bagi setiap penjawat wanita, maka ia wajar diambil sebagai kes terpencil yang lebih memerlukan budi-bicara mengikut kes masing-masing.
Cuti tiga hari mungkin terlalu pendek dan sebulan pula adalah terlalu panjang. Jika diikutkan hati manusia, pastinya cuti selama-lamanya juga tidak akan membantu menghapuskan dukanya.
Jangka masa yang diperlukan untuk seseorang untuk bangun kembali adalah berbeza-beza mengikut tahap kekuatan diri, jumlah tanggungan yang terlibat serta urusan-urusan harian. Sikap seseorang itu juga adalah berbeza-beza di mana sebahagian dari manusia memerlukan aktiviti dan kesibukan bagi menangani kedukaannya. Dalam kes seperti ini, rakan-rakan pejabat boleh membantu meringankan kesedihan. Oleh itu, dengan kembali ke pejabat lebih awal, akan membantu beliau mengalihkan perhatian dari terus melayan emosi sekali gus, bangun kembali.
Secara dasarnya, tempoh masa seminggu adalah sesuai untuk memberikan seseorang itu masa untuk menerima hakikat apa yang berlaku, manakala seminggu lagi digunakan untuk urusan yang perlu dalam menghadapi kelainan hidup.
Cuti yang terlalu lama boleh juga membawa keburukan di mana yang terlibat akan menjadi murung melayan perasaan seorang diri tanpa aktiviti yang boleh membantunya melupakan apa yang terjadi. Ia juga mampu menjejaskan kualiti dan prestasi kerjanya akibat terlalu lama bercuti.
Justeru, dua minggu dilihat sebagai tempoh yang paling sesuai bagi pihak yang terlibat dan juga organisasi. Sekiranya ada yang memerlukan masa yang lebih, maka beliau perlu memohon cuti tahunan seperti biasa ataupun cuti tanpa gaji.
Pun begitu, selain prosedur bertulis, budi bicara Ketua juga amat penting dalam menentukan apa yang terbaik untuk pekerjanya. Ini kerana apabila berurusan mengenai emosi manusia, ia tidak harus tertakluk kepada satu garis panduan yang rigid kerana manusia adalah berbeza-beza.
Tindakan yang terbaik ialah mengambil jalan tengah di antara pihak balu dan juga jabatan awam yang terlibat. Justeru, separuh dari 30 hari yang diputuskan oleh kerajaan Kelantan dilihat sebagai lebih realistik dan sesuai untuk digunapakai.
Post a Comment