Home » » Polis Panggil Pelajar ; Aksi Di Jirat Cina PD !!

Polis Panggil Pelajar ; Aksi Di Jirat Cina PD !!

Written By Unknown on 28/10/2013 | 11:30 pm

Aksi Di Kubur Cina, Polis Panggil Pelajar


AKIBAT menari dan berkelakuan agak melampau termasuk bermain bola sepak di sebuah tanah perkuburan Cina di Port Dickson, Khamis lepas, sembilan orang remaja telah dipanggil pihak polis untuk direkodkan keterangan mereka.

Satu rakaman video selama 1 minit 32 saat yang tersebar di laman YouTube memaparkan pelajar-pelajar terbabit ada antaranya berbaju sekolah turut menari dengan diiringi dengan muzik rancak.

Perbuatan mereka itu kemudiannya menimbulkan rasa kurang senang masyarakat khsusnya mereka yang berbangsa Cina.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supritendan Abd Wahab Harun berkata, tujuh daripada mereka merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di Port Dickson, sementara dua lagi telah dikenakan tindakan buang sekolah sebelum kejadian, atas kesalahan disiplin.

Beliau berkata kesemua mereka berusia antara 12 hingga 14 tahun.

“Siasatan polis mendapati, kumpulan pelajar ini berbuat demikian tanpa niat untuk menghina ataupun cuba menggugat sentimen perkauman dan agama. Kelakuan yang dilakukan sekadar untuk bersukaria, bagaimanapun mereka berada di lokasi salah tanpa mengetahui kesan dan akibat daripada perbuatan tersebut,” katanya.

Menurutnya, perbuatan kumpulan pelajar itu dilakukan sekitar pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari.

“Rakaman video itu dirakam menggunakan telefon bimbit salah seorang daripada pelajar terbabit. Polis juga percaya antara mereka juga yang telah memuat naik rakaman tersebut ke internet,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.

Abd Wahab berkata, berikutan penyebaran video tersebut, satu laporan polis telah dibuat ahli jawatankuasa tanah perkuburan tersebut, Jumaat lalu.

“Dalam masa terdekat polis akan memanggil pelajar, ibu bapa mereka dan juga ahli jawatankuasa tanah perkuburan itu untuk menjernihkan kembali keadaan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

“Kejadian yang berlaku ini merupakan kes terpencil dan jangan jadikan ia sebagai punca untuk kita saling berbalah sesama kaum,” katanya percaya kes ini akan diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 298 A (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun,” katanya.

Abd Wahab menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman video tersebut melalui apa juga medium komunikasi dan mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger