Mantan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam percaya beliau mempunyai peluang agak cerah untuk merebut satu daripada tiga kerusi Naib Presiden Umno dalam pemilihan parti 19 Oktober ini.
Mohd Ali menyifatkan peluangnya masih agak cerah walaupun ada desas-desus kononnya terdapat usaha untuk mengekalkan tiga penyandang sedia ada.
“Calon yang menawarkan diri semuanya baik-baik belaka, ada kelebihan, pengalaman dan rekod, jasa kepada parti, kerajaan, negeri, sehingga ke peringkat nasional…(dan) saya pun ada pengalaman (tersebut).
“Sekarang Umno sedang dalam proses transformasi serta mengamalkan konsep demokrasi yang lebih luas. Saya fikir semua yang menawar diri ada peluang dan saya nampak peluang saya,” katanya kepada pemberita selepas menerima Ijazah Sarjana Sastera pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.
Mohd Ali berkata demikian selepas diminta mengulas tentang desas-desus mengenai usaha yang dijalankan untuk memastikan tiga naib presiden parti sedia ada iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kekal.
Selain Mohd Ali, turut mencabar bagi jawatan tersebut ialah Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.
Post a Comment