Buat masa ini, kebanyakan dari rakyat
Kedah tanpa mengira parti masih lagi berkabung atas kembalinya Tan Sri Azizan
Razak ke rahmatullah.
Biar apapun kelemahan pentadbiran beliau,
tiada siapa dapat menafikan sifat amanah dan kejujuran beliau dalam
memperkatakan soal agama. Allahyarham
dihormati di kalangan musuh sebagai seorang yang berpendirian teguh namun,
malang sekali, atas alasan yang sama juga arwah diragui di kalangan rakan hanya
kerana enggan meneggakkan benang yang basah.
Kerana ketokohannya, acara pengebumian
Tan Sri Azizan menyaksikan ribuan manusia sehingga menyebabkan kesesakan
lalulintas yang teruk. Adalah
dilaporkan di kalangan keluarga beliau sendiri tidak sempat menghadiri pengebumiannya
akibat tersekat dalam kesesakan. Ada
juga di kalangan warga emas yang terpaksa membatalkan niat untuk menghadirinya
kerana tidak mampu berjalan jauh memandangkan tiada ruang untuk meletak kereta
lagi di kawasan sekitar.
Begitulah pemergian arwah amat dirasai
dan ditangisi oleh semua yang tahu menghargai perjuangan murninya yang
berasaskan perpaduan ummah.
Namun, lumrah dunia ini adalah terikat
pada peraturan di mana yang hidup perlu meneruskan kehidupan. Dan peraturan itu juga menyatakan
bahawa Pilihanraya Kecil perlu diadakan segera bagi menentukan wakil DUN Sungai
Limau yang sebelum ini disandang oleh arwah.
Dato’ Mukhriz yang diketahui begitu kerap
melawat arwah ketika sakit dan paling pantas tiba menziarahi jenazah di
hospital kini perlu berhadapan dengan cabaran besar untuk memastikan BN berjaya
mengatasi PAS dalam PRK Sungai Limau. Cabaran
ini sekali gus merupakan cabaran peribadi ke atas kemampuannya terutama dalam
menghadapi pertandingan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan nanti.
Kerusi Sungai Limau telah menjadi kerusi
‘tetap’ arwah sejak 1995 lagi tanpa gagal. Justeru, cabaran yang dihadapi oleh
Mukhriz bukannya calang-calang kerana orang-orang Sungai Limau sudah terlalu
biasa dengan PAS, yakni, dengan Ustaz Azizan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa
memilih Ustaz Azizan dan PAS bagaikan ‘kewajiban’ kalaupun bukan ‘budaya’
masyarakat setempat.
Faktor calon pastinya memainkan peranan
besar dalam PRK ini. Setakat
ini 3 nama telah disebut-sebut sebagai calon BN, namun masih tiada kepastian
lagi.
Untuk negeri Kedah, Sungai Limau adalah
kawasan ‘terbaik’ bagi PAS selepas Tokai.
Dalam PRU-13, terdapat 27,287 pengundi
berdaftar di Sungai Limau dan peratusan mengundi ialah 89.43%. Dari jumlah itu, 93% adalah dari kaum
Melayu dan 7% lagi adalah Cina.
Apa yang menarik ialah Ustaz Azizan pada
waktu itu dicabar oleh sepupunya sendiri iaitu Fadzillah Mohd Ali serta dua
lagi calon Bebas. Arwah
menang dengan 13,294 mengatasi Fadzillah yang mendapat 10,520 undi. Calon-calon Bebas masing-masing hanya
berjaya mendapat tidak lebih dari 100 undi.
Jumlah majoriti kemenangan Ustaz Azizan
bagaimanapun menurun dari 3,212 pada 2008 kepada 2,774 pada 2013.
Hakikat bahawa arwah ditentang oleh
sepupunya sendiri dan menang dengan jumlah majoriti yang berkurangan, boleh
dilihat sebagai petanda bahawa BN mempunyai peluang untuk menang di sini.
Apa yang pasti, bahawa bukan semua,
termasuk dari keluarga Ustaz Azizan sendiri di Sungai Limau, yang mendokong
perjuangan PAS. Malah, jika
kena calonnya dan kena gayanya, orang-orang Sungai Limau mampu beralih arah
kepada BN.
Pembaharuan pemikiran generasi baru
mungkin merupakan antara sebab majoriti Ustaz Azizan menurun sedikit dalam PRU
lalu. Sedikit demi sedikit
penduduk Sungai Limau pastinya mendambakan pembangunan yang mampu membawa
peluang pekerjaan dan mengeluarkan mereka dari keadaan statik sejak berkurun
lalu. Jika perkara ini
dapat ditekankan dengan betul, tidak mustahil BN mampu merampas Sungai Limau
dari PAS.
Selain itu, secara dasarnya, Sungai Limau
tiada bezanya dengan kawasan-kawasan PAS yang lain. Rata-rata penduduknya meletakkan agama
sebagai faktor utama untuk memilih pemimpin. Kalau tidak salah, terdapat
sekurang-kurangnya 4 sekolah agama berkonsepkan pondok di kawasan ini. Ini sudah cukup untuk menggambarkan
kehendak dan kecenderungan masyarakat di sini.
Justeru, BN perlu memastikan memastikan
calon yang diletakkan mempunyai pegangan dan pengetahuan agama yang cukup
mantap bagi meyakinkan penduduk setempat.
Kesimpulannya, sekiranya BN serius untuk
menang di sini, maka kepimpinan perlu meletakkan calon yang mempunyai
pengetahuan agama yang cukup serta mampu pula membawa perubahan dan anjakan
pemikiran serta pembangunan di Sungai Limau.
Post a Comment