Home » » Konspirasi Nam Tien (Cina) Hapuskan Kuasa Melayu?

Konspirasi Nam Tien (Cina) Hapuskan Kuasa Melayu?

Written By Unknown on 07/10/2013 | 4:00 pm





Penulis berkesempatan untuk mengikuti satu simposium yang bertajuk “Mendepani Agenda Asing: Melayu Dalam Krisis Kepimpinan” yang dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di Putrajaya pada 28 September yang lalu.

Pelbagai perkara telah dibincangkan di dalam siposium tersebut melalui sesi dialog bersama tokoh-tokoh ilmuan, ekonomi dan sejarah Melayu. Namun begitu apa yang begitu menarik perhatian penulis adalah sesi dialog pertama yang diterajui oleh Puan Zaharah Sulaiman seorang penulis dan pengkaji sejarah dari Persatuan Arkeologi Malaysia.

Tajuk yang dibawakan oleh Puan Zaharah Sulaiman adalah “Konspirasi Penghapusan Bangsa Melayu: Fokus Agenda Nam Tien”. Penulis agak terkejut dengan beberapa pendedahan yang telah dibuat oleh Puan Zaharah. Namun begitu setelah penulis kembali ke rumah dan membuat sedikit kajian sendiri, penulis dapati bahawa apa yang dikatakan oleh ahli Persatuan Arkeologi Malaysia itu sememangnya benar.

Menurut kajian yang telah dilakukan, sejarah bangsa Melayu tidak bermula dengan pembukaan Melaka oleh Parameswara. Orang Melayu telah lama bertapak di Asia Tenggara beribu-ribu tahun lagi awal daripada pembukaan Melaka. Kerajaan-kerajaan kuno yang diwar-warkan sebagai permulaan sejarah Melayu seperti Kerajaan Kedah Tua dan Empayar Melaka adalah kerajaan yang moden jika dibandingkan dengan permulaan bangsa Melayu.

Sejarah telah membuktikan bangsa Melayu menjadi tumpuan dunia kerana keupayaan tanah-tanah di Nusantara yang menghasilkan emas yang banyak. Oleh itu ia menjadi impian semua empayar kuno untuk menakluki Nusantara yang penduduk asalnya adalah orang-orang Melayu. Dikatakan pada ketika itu takrifan kawasan Nusantara adalah sebegitu besar. Lingkungan Alam Melayu dari timur ke barat bermula dari Pulau Easter, Hawaii dan Madagascar. Dari Utara ke Selatan pula ia bermula dari Pulau Farmosa, Filipina Champa, Funan, Siam Malaysia, Indonesia, Pulau-Pulau kecil di Pasifik dan juga New Zealand. Hakikatnya pada ketika itu, semakin jauh ke Selatan Nusantara, semakin kuat sesuatu kerajaan Melayu di awal sejarahnya.

Namun begitu, dek terlalu kaya dengan hasil bumi yang mewah, ditambah pula dengan kecekapan pemerintah-pemerintah Melayu dalam menguruskan sumber, kekayaan orang Melayu amat dicemburui oleh empayar besar dunia. Ini termasuk Negeri Cina. Kegiatan emas dan bijih-bijih berharga dari perut bumi Melayu telah mengundang kedatangan bangsa-bangsa asing.

Bermula dengan pencerobohan dan rompakan emas Kerajaan Melayu Champa oleh seorang Gabenor dari Cina yang bernama Tan Henzhi. Satu gerakan seolah-olah dilaksanakan untuk menawan keseluruhan Tanah Nusantara yang menjadi pusat pemerintahan orang Melayu. Gerakan ini dinamakan sebagai Nam Tien atau dalam bahasa Melayu “Gerakan ke Selatan”. Gerakan ini diusahakan oleh golongan penakluk, untuk mengepung dan menolak orang Melayu hingga ke ‘penghujung dunia’.

Berikutan dari ledakan penambahan orang Cina di Thailand, Kemboja dan Vietnam sehingga mereka menubuhkan bangsa keturunan mereka sendiri yang digelarkan sebagai Dai Viet telah menyebabkan orang Melayu semakin dipinggir di negeri sendiri. Kini mereka berevolusi menjadi bangsa Khmer (Kemboja), Thai (Siam) dan Hmong, Mong dan Miao (Vietnam). Walaupun kini mereka memanggil diri mereka sebagai orang Thai, Kemboja atau Vietnam, mereka masih lagi berpegang teguh dengan ideologi asal kedatangan mereka ke Nusantara. Mereka terus berusaha hingga sekarang agar orang Melayu pupus dari muka bumi dan mereka berjaya menakluki Nusantara.

Nampaknya bukan bangsa Cina sahaja yang benar-benar ingin menakluki Nusantara, ini kerana bangsa-bangsa hibrid dari keturunan Cina juga terus berusaha untuk menolak dan menghancurkan kekuasaan orang Melayu. Kerajaan Melayu jatuh merudum apabila sedikit demi sedikit tanah mereka diambil oleh kaum lain.

Contoh yang paling dekat adalah penyewaan Pulau Pinang oleh kerajaan Kedah. British menipu Sultan Kedah lantas memberi peluang untuk orang Thai menakluk dan menjarah Kota Alor Setar pada tahun 1821 sehinggalah pada tahun 1842. Pada ketika Kesultanan Melayu (Selangor, Kelantan dan Pahang) ingin membantu Kedah, British mengeluarkan askar-askar mereka untuk mengepung Kedah dari menerima apa-apa bantuan.

Ini membuktikan, tiada satu bangsa lain pun yang akan menyelamatkan bangsa Melayu kecuali bangsa Melayu itu sendiri. Sedihnya lama kelamaan penduduk bumi Melayu semakin tersepit dan sungguhpun telah merdeka secara fizikal, sejarah Melayu telah diputar belitkan agar anak-anak Melayu tidak tahu akan kehebatan bangsa mereka sendiri.

1511 merupakan titik tolak kerajaan Melayu menjadi terlalu lemah apabila dikalahkan oleh Portugis dengan mudah. Namun begitu, umat Islam di Malaysia masih boleh berbangga kerana walaupun dijajah oleh pemerintah Kristian dan agama lain, umat Islam pada zaman dahulu menolak langsung apa jua peluang untuk di murtadkan oleh pemerintah baru mereka. Jika penjajah berjaya pada waktu itu untuk menyebarkan Gospel mereka, Malaysia akan jadi tidak ubah seperti negara Filipina yang pada dahulunya adalah sebuah negara Islam. Kini Filipina diterajui oleh orang Kristian yang telah didoktrinasikan untuk mengagungkan dunia Barat.

Kejatuhan Empayar Melayu Champa, Kerajaan Melayu Maylina, Kerajaan Melayu Tondo (Selatan Filipina) dan Kerajaan Melayu Lamayan (Utara Filipina) harus kita kenangi. Ini kerana mereka telah tumbang disebabkan oleh kerakusan bangsa asing yang sentiasa tidak kenyang sungguhpun telah meratah tanah Nusantara ini.

Kini gerakan Nam Tien seolah-olah muncul kembali untuk menghantui orang Melayu. Dalam bentuk penjajahan moden yang diberikan pelbagai nama. Panggilah ia demokrasi, liberalisasi, reformasi, ataupun apa pun ideologi yang diracun di dalam minda orang Melayu, natijahnya jelas. Ianya hanyalah untuk melemahkan pemikiran bangsa Melayu itu sendiri. Tuntasnya peperangan ideologi dan persepsi akan menjunamkan orang Melayu sekali lagi kedalam karung penjajahan.

Biarlah kejatuhan kerajaan Melayu pada zaman dahulu dijadikan contoh dan peringatan kepada semua orang Melayu akan kengerian yang menanti mereka sekiranya bangsa Melayu jatuh dari tampuk pemerintahan. Dan jangan sekali pun orang Melayu melupakan akan kejahatan yang ingin merampas hak warisan anak bangsa Melayu di Malaysia sejak dari beratus tahun dahulu hinggalah sekarang.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger