Seorang kakitangan kerajaan, Mohd Noor Mat, 47, memulakan langkah pertamanya untuk Program Walk4 Malaysia (PWM) sejauh 600 kilometer dari Kuala Besut ke Putrajaya, semalam.
Perjalanan yang bermula jam 9.10 pagi itu, diiringi 80 peserta daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT)
Program dikendalikan Sekretariat Walk4Malaysia Terengganu menetapkan 13 hentian kepada pejalan kaki itu yang dijangka mengambil masa 13 hari dan sampai di Putrajaya, 4 Oktober ini.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Julai lalu, Mohd Noor membuat ikrar untuk berjalan kaki dari Besut ke Putrajaya, jika calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Rahman, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
Beliau yang bertugas dengan Yayasan Islam Terengganu (YIT) kelihatan sihat dan cergas ketika memulakan perjalanannya semalam dan sudah menjalani latihan intensif sejak dua bulan lalu.
Terdahulu, ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, melakukan senamrobik bersama lebih 500 pelajar sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua jabatan serta kakitangan mereka, sebelum melakukan pelepasan program itu.
Turut hadir, ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa; Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Roshali Taha.
Sebelum berlepas, Mohd Noor yang berasal dari Kampung Tok Raja, Jerteh, sujud di atas jalan raya untuk beberapa minit bagi memohon restu bagi membolehkannya menamatkan perjalanannya dengan selamat.
Bagi perjalanan pada hari pertama semalam, Mohd Noor akan berjalan sejauh 67.5 kilometer yang dijangka mengambil masa selama 13 jam, sebelum berhenti di Masjid Merang, Setiu untuk berehat.
Bapa kepada tujuh anak itu akan menyambung perjalanannya hari ini sejauh 48.4 kilometer ke Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, bermula jam 8 pagi.
Terdahulu, dalam ucapan yang dibacakan Tengku Zaihan, Ahmad berkata, Program Walk4Malaysia itu membuktikan sokongan rakyat kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengilhamkan program itu, di samping usaha kerajaan negeri Terengganu merealisasikannya.
Katanya, program itu juga jelas membuktikan rakyat dapat melakukan aktiviti berfaedah sepanjang masa dengan wujudnya keamanan di negara ini atas usaha kepemimpinan negara.
Post a Comment