Selepas Perdana Menteri kita sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak dikhabarkan akan membuat penampilan khas dalam sebuah filem berjudul Ikrar Perwira, khabar terbaru menyatakan Tun Dr. Mahathir pula bakal membuat penampilan cameo dalam sebuah filem patriotik.
Filem berjudul Kapsul arahan Martias Mohd Ali itu masih dalam proses praproduksi.
Laporan Harian Metro hari ini memetik, Martias yang juga merupakan penulis skrip filem itu berkata, usaha medapatkan kerjasama pemimpin negara yang disegani ramai hingga ke peringkat antarabangsa itu masih dalam perbincangan antara produksi Two Tones Sdn Bhd bersama beliau.
"Kami masih berbincang mengenai perkara ini dan berharap beliau dapat membintangi filem ini yang mahu menggambarkan semula Wawasan 2020", katanya.
Filem yang di jangka akan menjalani penggambaran pada Disember nanti mengisahkan kapsul Wawasan 2020 yang selama ini menjadi tanda tanya mengenai isi kandungannya sebelum dibuka pada 1 Januari 2020.
"Plot berkisar mengenai seorang pemuda iaitu Zohri yang hidup pada zaman kini kembali ke tahun 1942. Pada era tersebut, Zohri akan menjiwai karakter prebet Naim berjuang melawan Jepun dan merasai penderitaan bangsa Melayu sebelum mencapai kemerdekaan," katanya.
Katanya, Zohri diupah seorang lelaki bergelar Datuk untuk mencuri kapsul Wawasan 2020 sebelum dia didapati hilang. Latar belakang filem ini adalah zaman sebelum negara merdeka dan ianya dipaparkan sebanyak 70 peratus.
"Filem ini diinspirasi daripada idea mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir yang memperkenalkan Wawasan 2020. Mungkin ramai antara kita sudah lupa mengenai misi negara ini," katanya.
Pelakon berpengalaman Faizal Hussien sudah mengesahkan akan membintangi watak utama filem ini termasuk Shaharuddin Thamby dan penampilan khas, jutawan internet, Irfan Khairi.
Post a Comment