Pesakit buah pinggang kurang kemampuan di sekitar kawasan Seputeh di sini, akan menerima rawatan percuma di sebuah pusat dialisis milik Yayasan Ehsan Seputeh (YES).
Ketua Pegawai Eksekutif YES, Lila Ruzaini Mohd Hussain berkata, pusat dialisis yang ditubuhkan dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) itu akan beroperasi dalam masa terdekat selepas YES dilancarkan Sabtu ini.
“Kami telah mendapat persetujuan daripada NKF dan mereka akan memberi nasihat kepada kami dari segi teknikal untuk pusat dialisis ini.
“Lokasi pusat dialisis itu telah dikenal pasti dan akan dilengkapi dua hingga empat buah mesin dialisis yang mampu memberi perkhidmatan kepada 10-20 orang pesakit setiap hari,”
Lila berkata pusat dialisis itu adalah satu daripada perancangan YES dalam memperkenalkan budaya hidup lebih sihat kepada penduduk di kawasan Seputeh.
Selain pusat dialisis, beliau berkata YES juga telah mengadakan perbincangan dengan KPJ Healthcare untuk memperbanyak program kesedaran kesihatan bagi masyarakat setempat di situ dari semasa ke semasa.
Lila berkata YES yang memberi fokus kepada tiga elemen utama iaitu kebajikan, pendidikan dan kesihatan, juga telah berbincang dengan pihak universiti tempatan untuk bekerjasama mengadakan program berkaitan pendidikan.
Yayasan juga merancang untuk mewujudkan biasiswa dan pinjaman pendidikan jika peruntukan membolehkan, katanya dan menambah YES telah menubuhkan sebuah sekolah tahfiz di Seputeh pada tahun lepas sebagai langkah memberi pendidikan holistik kepada masyarakat setempat.
YES yang merupakan cetusan idea Ketua Umno Bahagian Seputeh Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff ditubuhkan pada tahun lepas dan dijangka dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu ini.
Post a Comment