Home » » Pemilihan UMNO 2013 ; Jadikan UNDI 'Suara Keramat' Bukan 'Satu Penamat'

Pemilihan UMNO 2013 ; Jadikan UNDI 'Suara Keramat' Bukan 'Satu Penamat'

Written By Unknown on 26/09/2013 | 8:30 pm


TAMATLAH sudah spekulasi mahupun teka-teki, kini nasib politik UMNO akan ditentukan oleh 146,500 ahli di seluruh negara yang bakal membuat keputusan memilih barisan terbaik demi memantapkan lagi perjuangan parti keramat orang Melayu itu.

Satu undi yang dimiliki oleh mereka bakal menentukan masa depan UMNO khususnya dalam memantapkan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa ahli UMNO akan berpeluang memilih lagi dalam pemilihan seterusnya tetapi pemilihan kali ini dianggap cukup penting bagi parti tersebut.

Sebarang keputusan yang hendak dibuat oleh 146,500 ahli UMNO tidak harus disandarkan kepada persepsi, tohmahan mahupun fitnah. Sebaliknya bersandarkan kepada keyakinan sejauh manakah barisan pemimpin yang bakal mereka pilih mampu mempertahan perjuangan UMNO, membela nasib orang Melayu, memartabatkan agama Islam dan memakmurkan negara.

Ini jugalah menjadi asas kenapa pindaan Perlembagaan UMNO dilakukan dengan membenarkan 146,500 mengundi supaya suara ahli akar umbi turut mempunyai 'saham' dalam membentuk barisan kepimpinan UMNO.

Atas sebab itulah sesuatu yang malang jika pemilihan parti tersebut hanya dilihat sekadar untuk meningkatkan tahap karier politik seseorang individu mahupun pemimpin.

Sememangnya dalam politik kepentingan peribadi tidak boleh dielakkan tetapi janganlah kepentingan tersebut melebihi kepentingan parti.

Pemilihan yang bakal dilakukan perlu berasaskan kepada sejauh manakah barisan pemimpin yang terpilih itu berupaya untuk menggalas amanah parti, bangsa, agama dan negara.

Janganlah membuat tafsiran, janganlah terpedaya dengan kata-kata dan janganlah terperangkap dengan persepsi.

Ahli UMNO sudah pasti berupaya menilai setiap pemimpin yang bertanding tidak kira di peringkat apa pun.

Pemimpin-pemimpin kanan UMNO tentunya mempercayai kebijaksanaan ahli-ahli parti itu untuk membuat keputusan.

Percayalah pemilihan UMNO adalah satu pemilihan parti yang paling mendapat perhatian dalam arena politik tanah air.

Siapa yang bakal terpilih atau disingkirkan bukan sahaja akan dinilai oleh ahli UMNO tetapi juga oleh rakyat secara keseluruhannya khususnya orang Melayu.

Sebab itulah undi dimiliki oleh mereka bukan sekadar sehelai kertas yang boleh dicampak atau diconteng atau dipangkah nama ikut hati sahaja kerana biarpun sehelai ia adalah penentu kepada nasib UMNO.



Oleh itu dalam kerancakan atau keterujaan menyokong mana-mana calon, maka jadilah penyokong yang bijak dan bukannya 'penyokong membawa rebah kerana akibatnya UMNO yang bakal menerima musibah! Justeru jadikan undi yang dimiliki sebagai 'suara keramat' dan bukannya 'satu penamat'.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger