Home » » Nama Ahli Politik Yang Berkait Dengan Kongsi Gelap

Nama Ahli Politik Yang Berkait Dengan Kongsi Gelap

Written By Unknown on 08/09/2013 | 2:30 pm


Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada pihak polis untuk mendedahkan nama individu yang mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan dikatakan turut bergiat dalam bidang politik di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis akan mendedahkan nama individu terlibat bila tiba masanya.
“Bila akan didedahkan saya serah pada pihak polis.
“Tiba masanya polis akan dedahkan dan tindakan undang-undang akan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Skuad 1Malaysia Negeri Perak bersama Menteri di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Puan Sri Zuraidah Mohamed dan Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Langat, M.Kalai Arasu menafikan dakwaan beliau adalah ketua sebuah kumpulan gengster.
“Saya bukan gengster. Saya akan melakukan apa saja untuk membersihkan nama saya,” katanya.
Kalai Arasu dikaitkan dengan nama ketua Kumpulan Geng 36 ‘Kajang Kalai’, yang merupakan salah seorang daripada 30 nama ketua kumpulan gengster yang didedahkan polis pada Jumaat lalu.
“Saya tidak faham mengapa saya dikaitkan dengan nama itu. Saya tidak pernah memanggil diri saya ‘Kajang Kalai’. Itu adalah nama samaran yang digunakan orang ramai. Saya sentiasa memperkenalkan diri saya sebagai Kalai Arasu.
“Saya melibatkan diri dengan politik sejak 2000. Saya tiada rekod jenayah, tidak pernah didakwa di mahkamah atau ditangkap. Bagaimana saya boleh dituduh sebagai ketua gengster secara tiba-tiba,” kata ahli politik berusia 42 tahun itu.
Kalai Arasu berkata, beliau perlu mengekalkan reputasi bersih kerana orang ramai tidak akan bekerjasama dengannya dalam program komuniti sekiranya dia terlibat dengan kumpulan gengster.
Beliau turut mempertikaikan ketepatan senarai yang didedahkan polis dengan berkata nama-nama itu diedarkan dalam surat tanpa nama suatu masa dulu.
Kalai Arasu berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara itu di Kajang pada Ahad selepas mendapatkan nasihat peguamnya.
Dalam perkembangan berasingan, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan membuat laporan polis terhadap penasihat MyWatch, S.Gobi Krishnan dan dua portal Bahasa Inggeris kerana mengaitkannya dengan Geng 36.
Gobi dalam laman Twitternya mendakwa kereta Mohan, iaitu sebuah Mercedes CLS dengan nombor pendaftaran ’3060′ yang didakwa dikenali sebagai identiti kod kumpulan tersebut.
Gobi turut mengtag nama Mohan dalam tweetnya dan menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap beliau.
“Saya menggunakan nombor pendaftaran itu sejak 1996. Ini tidak bermakna saya sebahagian daripada mana-mana kumpulan,” kata Mohan.
Beliau berkata dakwaan itu adalah satu pembohongan dan bermotifkan politik.
“Kami akan menyaman sesiapa yang menyebarkan perkara yang tidak benar,” katanya.
Gobi mendakwa ketua Geng 36 yang didedahkan polis pada Jumaat merupakan seorang pemimpin MIC dan memegang jawatan di dalam parti itu.
“Ia memang mengejutkan jika gengster memegang jawatan tertinggi di dalam parti,” katanya.
Pada 7 September lepas, sumber Kementerian Dalam Negeri mendedahkan nama ‘kepala’ kumpulan kongsi gelap Geng 04, 08 dan 36 dengan salah seorang ketuanya bernama Kajang Kalai dipercayai orang rapat kepada Devan yang juga seorang jutawan dan pengedar dadah menurut kementerian.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger