Pertandingan jawatan Ketua Wanita UMNO semakin menarik dengan pengumuman Senator Datuk Maznah Mazlan untuk turut merebut jawatan itu, selain Raihan Suleiman Palestin. Ini menyebabkan para pemerhati melihat bahawa Datuk Shahrizat kini berdepan dengan segala kemungkinan memandangkan kedua-dua lawannya mempunyai kelebihan tersendiri.
Raihan membawa kekuatan nama bapanya dan harapan rakyat kepadanya ialah agar beliau turut mewarisi prinsip dan ketegasan tokoh tersebut. Selain itu, Raihan turut dilihat sebagai watak yang tepat untuk bersemuka dengan pembangkang memandangkan beliau adalah sepupu kepada Ketua Pembangkang dan banyak menyimpan cerita silam manusia ‘Anugerah Tuhan’ itu.
Namun, Raihan, nampaknya bukan merupakan isu utama kepada penyandang. Tetapi, kita tidak dapat mengelak dari mengesan sedikit kebimbangan di pihak Shahrizat terhadap Datuk Maznah. Kenyataan Shahrizat yang memberi peringatan agar tiada siapa yang bertanding sebagai proksi, cukup menarik untuk diteliti.
Datuk Maznah diketahui mempunyai hubungan akrab Datuk Seri Rafidah Aziz, maka mungkin kerana itulah beliau digambarkan oleh Shahrizat sebagai bertanding sebagai proksi kepada wanita hebat itu.
Datuk Maznah bagaimanapun menafikan yang beliau menjadi proksi sesiapa.
Dari segi pengalaman, Datuk Maznah sudah cukup membuktikan kewibawaannya melalui jawatan Exco Wanita yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah selama lima penggal. Beliau telah terlibat dengan pergerakan Wanita Umno sejak 1970-an dan memegang pelbagai jawatan, termasuk Ketua Wanita Bahagian Rompin dan Ketua Wanita Umno Pahang,
Secara dasarnya, Datuk Maznah tidaklah ketinggalan jauh di belakang Shahrizat memandangkan beliau juga adalah bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (April 2008-April 2009), sebelum dipindahkan ke Kementerian Sumber Manusia selama empat tahun sejak April 2009 hingga April tahun ini.
Beliau juga pernah dilantik sebagai exco kerajaan negeri Pahang dengan jawatan terakhir ialah mengurus Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Kesenian dan Warisan.
Selain pengalaman yang luas dan kredibiliti yang telah terbukti, Datuk Maznah juga mempunyai rekod yang bersih dalam politik. Sepanjang perkhidmatannya, beliau belum pernah dikaitkan dengan apa-apa isu kontroversi.
Melihat dari fakta di atas, maka kita faham akan kebimbangan Shahrizat. Bagaimanapun, politik bukanlah sesuatu yang dapat dijangka dan kita harus bersedia dengan sebarang kejutan. Tidak mustahil Raihan yang dipandang sebagai ‘underdog’ mampu mengatasi kedua-dua lawannya.
Post a Comment