Home » » Jemaah Haji Terbaik Dunia ; Tabung Haji Sediakan Petugas 24jam

Jemaah Haji Terbaik Dunia ; Tabung Haji Sediakan Petugas 24jam

Written By Unknown on 20/09/2013 | 6:00 pm


Lembaga Tabung Haji (TH) menugaskan sebanyak 12 pegawainya sebagai peronda bagi membantu jemaah haji Malaysia yang tersasar atau dalam kesusahan di kawasan-kawasan tertentu di sini.
Pengurus Pusat Khidmat Pelanggan TH Abu Shukor Jangga berkata, pasukan peronda terdiri daripada anggota polis bantuan dan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) itu bertugas secara dua giliran dan membuat rondaan di sekitar kawasan Masjidil Haram dan lokasi tertentu yang dikenal pasti.
“Saya menasihati jemaah Malaysia agar sentiasa bergerak dalam kumpulan dan sentiasa memakai gelang serta lencana nama yang diberikan oleh TH supaya mereka boleh dikenali oleh pasukan peronda jika tersasar atau tidak jumpa jalan pulang ke maktab masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, bagi jemaah haji Malaysia yang ingin membuat umrah sunat, mereka diingatkan supaya tidak menaiki teksi berseorangan sebaliknya mencari kawan untuk bergerak secara berkumpulan.
TH hanya menggendalikan umrah wajib iaitu umrah kali pertama ketika jemaah memasuki kawasan tanah haram di sini.
Abu Shukor berkata, pada tahun lepas, sebanyak 673 kes jemaah tersasar dilaporkan berlaku tetapi kesemua mereka telah dibantu oleh pasukan peronda.
“Bagi tahun ini, kita agak bimbang kemungkinan kes tersasar akan meningkat disebabkan banyak laluan dalam masjid ditutup ekoran kerja-kerja pembinaan yang dijalankan di kawasan masjid,” kata beliau.
Katanya, bagi mengelak jemaah tersasar, mereka diingatkan agar mengenal pasti pintu masuk masjid dan sentiasa bergerak bersama rakan-rakan.
Selain itu, pasukan peronda berkenaan juga akan membantu jemaah Malaysia terutama yang uzur dan warga emas untuk melintas jalan menuju ke masjid.
“Jarak antara maktab TH dengan Masjidil Haram agak jauh dan oleh itu kita mengalakkan agar jemaah haji kita tidak kerap berulang alik ke masjid demi keselamatan dan kesihatan mereka. Mereka boleh beribadat lama di masjid dan pulang selepas solat Isyak,” kata beliau.
Abu Shukor berkata, jemaah haji tidak perlu risau mengenai makanan di maktab kerana makanan mereka tetap disimpan walaupun pulang selepas waktu Isyak.
Katanya, jika jemaah haji mendapati diri mereka telah kehilangan rakan dan tidak tahu arah jalan, mereka boleh menelefon nombor pusat khidmat pelanggan yang tertera di gelang tangan masing-masing dan pasukan peronda akan mencari mereka.
Beliau berkata, jemaah haji Malaysia juga digalakkan melantik seorang ketua bilik masing-masing supaya mereka mempunyai wakil untuk menyimpan semua nombor telefon rakan sebilik dan boleh membuat sebarang aduan jika rakan sebilik tidak pulang.
Sementara itu, Pengurus Media Tabung Haji Mohamad Naser Jaafar berkata, kira-kira 10,000 jemaah haji Malaysia kini berada di tanah suci Makkah dan Madinah.
Jemaah haji Malaysia yang berada di Madinah sedang memasuki Makkah secara berperingkat dan kesemua mereka akan berada di Makkah pada 29 Sept ini apabila kesemua 33 penerbangan dari Malaysia ke Madinah berakhir pada 20 Sept.
Mulai 21 Sept pula, kesemua penerbangan dari Malaysia mendarat di Jeddah untuk membawa jemaah haji terus ke Makkah dan penerbangan terakhir jemaah haji Malaysia ke Jeddah ialah 9 Okt depan.
Sebanyak 22,320 umat Islam dari Malaysia akan menunaikan fardu haji untuk musim ini dan jumlah itu adalah berkurangan sebanyak 20 peratus berbanding sebelumnya ekoran pengurangan kuota oleh kerajaan Arab Saudi. 
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger