Home » » Jawatan Ku Li Bakal Di Cabar Dalam Pemilihan UMNO Bahagian

Jawatan Ku Li Bakal Di Cabar Dalam Pemilihan UMNO Bahagian

Written By Unknown on 02/09/2013 | 1:00 pm



Jawatan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang yang disandang Tengku Razaleigh Hamzah sejak 51 tahun lalu akan dicabar pada pemilihan parti itu Oktober ini.

Menurut sumber, nama yang disebut-sebut akan bertanding merebut jawatan itu ialah Ketua Pemuda UMNO Gua Musang sendiri iaitu Datuk Bazlan Baharuddin dan beberapa nama lain.

Sumber tersebut berkata, pemilihan kali ini adalah platform terbaik untuk mana-mana pemimpin muda menampilkan diri selaras dengan hasrat ahli akar umbi UMNO sendiri yang mahu melihat lebih ramai pemimpin muda ditonjolkan.

Selain itu, kata sumber yang sama, seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di daerah ini akan turut mencabar jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang kini disandang oleh ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani.

"Saya boleh katakan memang Tengku Razaleigh perlu mempertahankan jawatan beliau pada pemilihan kali ini kerana beberapa nama pemimpin Pemuda di kawasan itu akan mencabar beliau.

"Menurut tinjauan di Gua Musang, ahli-ahli UMNO sendiri mahu melihat pembaharuan dalam parti tetapi ia bukan bermaksud Tengku Razaleigh tidak lagi relevan kerana beliau masih merupakan pemimpin yang dipatuhi dan disegani.

"Ini juga adalah berita baik kerana semua ahli UMNO berhak untuk mencabar mana-mana pemimpin dan terpulang kepada para perwakilan untuk menentukan sama ada mahu mengekalkan pemimpin sedia ada atau menukarnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut sumber itu, sebarang pertukaran pemimpin di Gua Musang sebenarnya tidak akan merugikan ahli UMNO atau rakyat kerana pemimpin baharu yang akan naik juga merupakan legasi Tengku Razaleigh.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li baru-baru ini menyatakan hasrat beliau untuk mempertahankan jawatan tersebut yang disandangnya sejak tahun 1962 ketika masih dikenali sebagai Bahagian Ulu Kelantan.

Pada masa sama, beliau seperti dilaporkan akhbar berkata, hanya jawatan di dalam UMNO yang akan dipertahankan sebaliknya kerusi Ahli Parlimen yang menjadi miliknya sejak 1974 akan dilepaskan pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Bazlan, 44, yang disebut-sebut akan mencabar jawatan itu adalah pemimpin Pemuda yang cukup dikenali di Gua Musang dan telah menjawat jawatan tersebut sejak 2004.

Beliau juga adalah ahli perniagaan yang berjaya dan mempunyai syarikat keselamatan sendiri.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger