Pengumuman Akhramsyah Tan Sri Sanusi Junid untuk bertanding Ketua Pemuda UMNO Malaysia merupakan satu rahmat kepada proses demokrasi UMNO. Setelah beberapa bulan Pemuda UMNO kelihatan berada dalam keadaan tidak bermaya, tiada inspirasi dan tiada motivasi dalam berhadapan Pemilihan UMNO 2013, akhirnya kebekuan itu terlerai.
Pemuda bukan sahaja layu kerana tiada sesiapa menyahut cabaran jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, malah calon-calon yang bertanding Naib Ketua Pemuda juga kelihatan tiada “umph” seperti kebiasaan.
Sama ada suka atau tidak, menyokong atau tidak, Akramsyah memberikan makna baru kepada perjuangan Pemuda UMNO. Sejak beberapa dekad, jawatan Ketua Pemuda UMNO sentiasa dicabar (kecuali semasa Datuk Hishamuddin Tun Hussien menang tanpa bertanding) dan dipertandingkan atas semangat demokrasi dan perjuangan yang luar biasa.
Sepanjang tempoh kewujudan UMNO, jarang sekali jawatan Ketua Pemuda UMNO dimenangi tanpa pertandingan. Kali terakhir jawatan tersebut menang tanpa bertanding ialah pada 2004 yang akhirnya menyaksikan kelesuan Pemuda UMNO buat beberapa ketika, Kesannya juga Pemuda kelihatan tidak bermaya apabila memasuki pilihan raya 2008, yang kita semua tahu sejarah yang terjadi ketika itu.
Pemilihan 2004 sangat memalukan bila jawatan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda tidak dipertandingkan. Bagi sebuah sayap parti yang sepatutnya dipenuhi gelodak perjuangan, Pemuda ketika itu seolah-olah sudah tiada aura dan keyakinan bagi menyuburkan demokrasi dalam parti.
Sama ada Ketua Pemuda UMNO sekarang, saudara Khairy Jamaluddin telah menjalankan tugas dengan baik dan layak sepenggal lagi untuk menjawat jawatan Ketua Pemuda harus ditentukan oleh perwakilan Pemuda UMNO di seluruh negara bukannya melalui tunjukkan sesiapa.
Pemerhati politik berpendapat perlantikan Khairy sebagai Menteri Belia dan Sukan merupakan isyarat jelas Presiden UMNO untuk mengekalkan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO. Hujahnya ialah, jika beliau tidak mahu Khairy menjadi Ketua Pemuda UMNO lagi, maka Dato’ Seri Mohd Najib tidak akan melantik sebagai Menteri, apatah lagi Menteri Belia dan Sukan.
Analisis politik ini kebarangkalian ada benarnya, dan mungkin sahaja ada percaturan politik lain yang tiada kena mengena dengan pemilihan UMNO menjadi pertimbangan Mohd Najib.
Semua ini sebenarnya tidak penting. Tidak penting sama ada Presiden parti merestui siapa atau tidak merestui siapa. Pemegang jawatan parti tidak seharusnya menjadi milik “All the President’s Man”.
Akhramsyah mungkin belum teruji sebagai pemimpin besar Pemuda UMNO, namun demikian juga Khairy ketika menang tanpa bertanding sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO.
Saya tidak mengatakan Akhramsyah merupakan calon terbaik atau lebih baik dari Khairy. Semua ini boleh dibahaskan di lain masa dan di lain ketika.
Apa yang penting, ketika Pemuda UMNO kelihatan layu dan beku menjelang Pemilihan UMNO 2013, Akhramsyah tampil menyelamatkan keadaan dengan memberi isyarat kepada dunia politik negara bahawa: “Pemuda UMNO Belum Hilang Kejantanannya”.
Cabaran buat Akhramsyah ialah berhadapan jentera besar Pemuda UMNO milik Khairy yang telah beberapa penggal berada dalam Pemuda UMNO Malaysia dan juga kini menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.
Segala-galanya terserah kepada perwakilan Pemuda nanti!
Post a Comment