Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersikap terbuka terhadap ahli pergerakan tersebut yang bercadang untuk bertanding serta mencabarnya dalam pemilihan parti Oktober ini.
Menurut Menteri Belia dan Sukan itu, langkah tersebut selaras dengan pindaan dalam Perlembagaan parti yang membenarkan sesiapa sahaja bertanding merebut semua jawatan dalam parti termasuk jawatan Ketua Pemuda UMNO.
"Saya sendiri sudah mengumumkan untuk bertanding mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO bulan lalu dan mengalu-alukan sesiapa pun yang mahu bertanding mana-mana jawatan dalam UMNO terutama Ketua Pemuda.
"Ini membuktikan pemilihan ini dilakukan secara terbuka dan demokratik," katanya ketika ditemui dalam majlis menandatangani perjanjian penajaan kejohanan Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin (TSM) 2013 anjuran Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin (TSMCG) di sini hari ini.
Majlis itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengasas TSMCG.
Khairy mengulas laporan berita berhubung pengesahan Akhramsyah Sanusi iaitu anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid untuk mencabarnya dalam pemilihan parti Oktober ini.
Melalui entri dalam blog beliau thoughtsintangents.blogspot.com, Akhramsyah, 39, memberitahu, beliau berhasrat berbuat demikian bagi mengembalikan kegemilangan pergerakan itu.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung keadaan tenat UMNO, beliau berkata, parti terbesar orang Melayu itu sememangnya memerlukan peralihan generasi dengan kemunculan pemimpin muda.
"Tetapi, penting bagi kita untuk menggabungkan antara orang muda dan pemimpin-pemimpin berpengalaman. Sebab itu saya mengharapkan perwakilan UMNO memberi sokongan kepada empat calon Pemuda UMNO yang akan bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi parti nanti.
"Proses meremajakan parti seharusnya sentiasa berlaku dan perlu dilakukan secara gigih. Terjemahannya adalah dengan kita memberi tempat kepada calon-calon pergerakan itu untuk menduduki jawatan berkenaan," ujarnya.
Empat pemimpin Pemuda UMNO berkenaan adalah Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Ketua Penerangan Pemuda UMNO); Datuk Sohaimi Shahadan (Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO) dan Pengerusi Unit Media Baharu Pemuda UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz.
Post a Comment