Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan tidak akan mempertimbang sebarang permintaan daripada anggota keluarga
Chin Peng supaya mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya itu dibawa pulang ke negara ini untuk urusan pengebumian.
Perdana Menteri berkata bekas ketua komunis yang meninggal dunia di Bangkok
hari ini akan diingati sebagai pemimpin pengganas yang terlibat melakukan
pelbagai kekejaman terhadap rakyat dan serangan ke atas pasukan keselamatan.
Justeru, beliau menegaskan kerajaan tidak akan terlibat dalam urusan
pengebumian bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu sama ada di negara ini
atau di Thailand.
“Kita tidak akan benarkan mendiang dikebumikan di Malaysia sebab sejarah
hitam yang dia lakukan. Tambahan lagi Chin Peng bukan warganegara Malaysia.
“Dia tidak mahu jadi warganegara Malaysia, jadi kita tidak ada apa-apa
ikatan dengannya sama sekali,” kata Najib pada sidang akhbar di sini ketika
ditanya sama ada beliau akan mempertimbang sekiranya anggota keluarga Chin Peng
memohon untuk melakukan urusan pengebumiannya di Malaysia.
“Kerajaan Malaysia percaya urusan pengebumian akan dilakukan di Thailand,”
kata Najib yang berada di sini sempena sambutan Hari Malaysia Ke-50.
Chin Peng dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada
kira-kira 6.20 pagi kerana sakit tua, sebulan sebelum tarikh ulang tahun
ke-89 kelahirannya. Chin Peng dilahirkan pada 21 Okt, 1924.
Najib menarik perhatian bahawa keganasan komunis yang dipimpin Chin Peng
terutama di era darurat telah menyebabkan ribuan nyawa terkorban terutama
anggota keselamatan di samping beribu yang lain mengalami kecederaan atau
kecacatan.
“Rakyat juga menderita kerana kemusnahan harta benda sepanjang PKM
melancarkan peperangan ke atas kerajaan selain melakukan sabotaj terhadap
ekonomi negara,” katanya.
Pemimpin pengganas yang hidup dalam buangan di Thailand itu pernah membuat
permohonan untuk pulang ke Malaysia, namun ditolak.
foto hiasan ehsan obeyone
Post a Comment