Parti DAP meminta Kementerian Pendidikan menerbitkan senarai pelajar yang mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) beserta Purata Penilaian Gred Kumulatif (PNGK) mereka untuk tatapan umum.
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching mendakwa, langkah itu perlu dilakukan segera bagi mengesahkan jawapan Kementerian Pendidikan mengenai nasib 39 pelajar bukan Melayu yang memperoleh PNGK 4.0 tetapi tidak mendapat tawaran ke IPTA.
“Jika benar 39 pelajar ini tidak dapat masuk IPTA kerana kursus yang mereka minta telah penuh maka kami meminta Kementerian Pendidikan menyiarkan PNGK pelajar yang diterima.
“Langkah ini supaya kita pasti bahawa semua pelajar yang diterima memasuki kursus itu mempunyai markah yang lebih baik dari 4.0 (selepas mengambil kira 10 peratus aktiviti ko-kurikulum mereka),” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Kementerian Pendidikan semalam menafikan dakwaan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong bahawa hanya 19 peratus pelajar Cina yang mencatat PNGK 4.0 mendapat tawaran ke IPTA termasuk 39 pelajar bukan Melayu terbabit.
Nie Ching seterusnya mendakwa, langkah menyiarkan markah pelajar yang diterima ke IPTA bagi membuat 39 pelajar terbabit dan keluarga mereka berpuas hati bahawa terdapat ramai pelajar yang lebih layak daripada mereka memasuki IPTA.
Nie Ching dalam pada itu mendakwa berasa kesal kerana 39 pelajar terbabit telah belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat kejayaan cemerlang tetapi akhirnya mereka diketepikan peluang memasuki IPTA.
“Kita selalu meminta anak-anak supaya belajar dengan rajin tetapi keadaan ini yang terjadi pada zaman ini,” dakwanya lagi.
mynewshub
Post a Comment