SEORANG guru pusat jagaan kanak-kanak yang didakwa mendera seorang budak Melayu hingga tulang keringnya retak di Singapura diberkas polis semalam.
Guru sambilan wanita berusia 51 tahun itu bekerja di pusat jagaan kanak-kanak My First Skool di Blok 192 Toa Payoh Lorong 4.
Video kanak-kanak yang bakal menyambut ulang tahun ketiganya 30 Julai didera itu tersebar di Facebook dan cetuskan kemarahan ramai.
Video rakaman CCTV itu yang dimuat naik ibu bapa mangsa menunjukkan seorang wanita memakai tudung menarik tangan budak itu meskipun dia dilihat berjalan terincut-incut.
Sebelum itu, beliau dilihat mengheretnya ke satu sudut dan kelihatan seperti memaksa budak itu duduk serta menampar mukanya dalam kejadian Jumaat lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTUC First Campus, yang mengendalikan My First Skool, Chan Tee Seng, meminta maaf atas kejadian itu.
Katanya, pihaknya akan menghulurkan segala bantuan diperlukan mangsa dan ibu bapanya, termasuk membiayai semua kos perubatan.
“Kelakuan guru itu tidak boleh diterima dan saya bersimpati pada budak itu dan ibu bapanya. Saya sendiri akan memastikan siasatan ini dapat diselesaikan dengan adil dan cepat,” katanya.
Pemangku Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Chan Chun Sing, berkata pemerintah memandang serius terhadap kes itu dan akan menyiasat dari segi latihan guru, penyeliaan dan pengurusan kejadian.
Hasil siasatan akan dikongsi dengan pengendali pusat jagaan kanak-kanak yang lain.
Ketua pegawai sumber manusia NTUC First Campus, Cik Geraldine Lee, berkata guru terbabit mempunyai kelayakan diploma dan menyertai My First Skool pada 2009 tetapi pihaknya tidak pernah menerima aduan berkenaan beliau.
Ibu bapa mangsa pula meminta anak mereka dipindahkan ke pusat jagaan kanak-kanak My First Skool yang lain.
Ketika dihubungi semalam, bapa mangsa berkata anaknya kerap menangis dan merengek semasa beliau hendak menyiapkannya ke pusat jagaan kanak-kanak itu setiap pagi sejak dua minggu selepas dia menyertai My First Skool di Toa Payoh pada Mac lalu.
“Mulanya saya tak sedar. Dia belum pandai cakap sangat dan saya ingatkan dia nak bersama saya di rumah.
“Sekarang baru saya tahu kenapa dia tak mahu ke sekolah… rupa-rupanya ada ‘raksasa’ di sana,” kata bapa mangsa, 33 tahun. (BH SINGAPORE)
Post a Comment